HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 November 2020

Poster hina TGHH: PAS Melaka buat laporan polis

HARAKAH DAILY

AYER KEROH: Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Melaka, Puhat Bedul, telah membuat satu laporan polis berhubung satu poster menghina Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dimuatnaik sebuah laman Facebook baru-baru ini.

Beliau yang diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Dato’ Ustaz Kamarudin Sidek bersama beberapa orang pemimpin Perhubungan PAS Melaka telah membuat laporan tersebut di Balai Polis Taman Tasik Utama, MITC, di sini, pagi tadi.

Pesuruhjaya PAS Melaka dalam sidang media selepas membuat laporan polis tersebut berkata, laporan polis itu dibuat berhubung satu hantaran dalam laman Facebook ‘Melaka State’ yang memuat naik satu poster yang mengandungi imej Tuan Guru Presiden PAS yang diubah suai dalam keadaan yang mengaibkan.

Menurut Ustaz Kamarudin, hantaran Facebook yang mengandungi poster tersebut adalah satu unsur fitnah dan unsur-unsur mencarik atau membunuh karektor kepimpinan negara.

“Saya mengharapkan perkara ini akan menjadi iktibar kepada semua pihak supaya tidak keterlaluan dan ekstrem dalam mengkritik kepimpinan negara dan parti-parti politik,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka itu juga berkata, satu arahan telah dikeluarkan agar semua PAS peringkat kawasan-kawasan dan dewan-dewan membuat laporan polis yang sama di lokaliti masing-masing di seluruh Negeri Melaka.

“Dan saya mengharapkan supaya laporan polis ini lebih banyak dapat dilakukan. Itu tanda simbolik protes kita daripada pihak PAS sendiri.

“Untuk makluman bahawa sebelum ini Melaka State ini dalam Facebook mereka memang sudah beberapa kali telah melakukan tulisan-tulisan atau artikel-artikel yang agak mengaibkan.

“Cuma kita tidak ambil sangat satu tindakan laporan polis pun sebelum ini. Kerana kita rasa biasalah dalam isu politik mereka menyindir atau membuat sesuatu artikel yang agak yang tidak beberapa memihak kepada kerajaan atau pun pemimpin.

“Tapi bila semalam dia buat poster yang seumpama ini, saya rasa agak biadablah. Semua rakyat Malaysia saya percaya tidak setuju cara pembunuhan karektor dan moral seseorang kepimpinan negara atau mana-mana parti politik.

“Dan kita dalam PAS pun tidak buat mengkritik sehingga menulis atau membuat karikatur kepimpinan parti lain dan sebagainya,” tambah Ustaz Kamarudin lagi.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang dilihat telah bertindak pantas dalam menangani kes ini.

“Dan mudah-mudahan yang saya harapkan ialah siasatan ini dapat dijalankan dengan baik dan dapat mengenalpasti siapakah individu yang membuat poster tersebut,” ujar beliau.

Tambah Ustaz Kamarudin lagi, pihak Perhubungan PAS Melaka juga akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengenalpasti individu yang terlibat dalam membuat atau memuatnaik poster tersebut.

Selain Badan Perhubungan PAS Melaka, PAS Kawasan Masjid Tanah juga antara PAS Kawasan terawal yang membuat laporan polis yang sama pagi tadi.

Laporan polis itu dibuat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman bersama-sama dengan beberapa orang pimpinan kawasan pagi tadi di Balai Polis Masjid Tanah. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: