HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 November 2020

Putrajaya digesa bebaskan kanak-kanak di pusat tahanan imigresen

Sebuah kumpulan hak asasi manusia berkata, lebih 700 kanak-kanak ditahan di pusat 
tahanan imigresen tanpa ibu bapa atau penjaga mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menyertai gesaan untuk Putrajaya membebaskan semua kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan imigresen kerana bimbang dengan kesejahteraan mereka.

Human Rights Watch (HRW) berkata, kerajaan perlu memberi akses kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ke pusat tahanan itu.

Setakat 26 Okt lalu, HRW berkata, 756 kanak-kanak, hampir separuh daripadanya datang dari Myanmar, ditahan di pusat tahanan seluruh negara tanpa ibu bapa atau penjaga mereka.

“Ia mengejutkan yang Malaysia menahan begitu ramai kanak-kanak di pusat tahanan sesak dan tidak bersih, selalunya tanpa ibu bapa atau penjaga,” kata Timbalan Pengarah HRW Asia, Phil Robertson dalam kenyataan hari ini.

“Kanak-kanak berisiko ini, termasuk ramai yang mungkin melarikan diri daripada kekejaman di Myanmar, perlu dijaga, bukannya dilayan seperti penjenayah.”

Robertson berkata, kanak-kanak di bawah tahanan terdedah kepada risiko kesihatan, kegelisahan, kemurungan, tekanan pasca trauma dan pemikiran bunuh diri.

Katanya, ia turut mendedahkan mereka kepada risiko penderaan dan eksploitasi seksual, walaupun kanak-kanak itu tidak ditahan dengan orang dewasa tiada kaitan.

Beliau berkata, Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, yang turut disertai Malaysia, melarang penahanan kanak-kanak atas alasan imigresen.

“Pihak berkuasa imigresen perlu berhenti bermain dengan nyawa manusia dan membebaskan semua kanak-kanak dengan segera serta memberi UNHCR akses ke atas semua pelarian dan pencari suaka yang ditahan.”

Sejak sekatan pergerakan dilaksanakan, kerajaan melakukan serbuan ke atas pendatang asing tanpa izin dan menahan ramai daripadanya di pusat tahanan imigresen.

Kumpulan hak asasi manusia dan kesihatan memberi amaran tindakan itu bertentangan usaha membendung penularan Covid-19.

Tiada ulasan: