Hari ini, secara tiba-tiba Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam mengumumkan menarik diri daripada Parti Pejuang yang mana sebelum ini beliau adalah salah seorang ahli jawatankuasa penajanya.
Dengan pengumuman keluar itu, Pejuang kini hanya dianggotai empat Ahli Parlimen – Tun Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr. Shahruddin Salleh (Sri Gading)
Sebelum ini, seorang lagi Ahli Parlimen yang rapat dengan Tun Mahathir iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) lebih dulu memilih tidak bersama dengan Pejuang.
Sebagai alternatif meneruskan perjuangannya, Syed Saddiq memilih menubuhkan parti baru – Ikatan Demokratik Malaysia atau Parti Muda.
Keputusan Dr. Maszlee, bekas Menteri Pendidikan era PH keluar daripada Pejuang tidaklah memeranjatkan sebenarnya kerana baru-baru ini beliau telah didapati menandatangani Akuan Bersumpan atau SD menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang sedang berdepan banyak masalah dan ketidaktentuan.
Meskipun SD beliau itu viral di media sosial, sehingga ini Dr. Maszlee tidak pernah menafikannya.
Melalui keputusan Dr. Maszlee ini, selain ramai yang mengalu-alukannya kerana dianggap telah membuat keputusan yang tepat demi menjamin kelangsungan perjuangannya di masa depan, tidak kurang yang ingin tahu apa pilihannya selepas ini?
Adakah beliau akan kembali kepada Bersatu?
Atau memilih wadah baru seperti PKR atau Amanah untuk pulang ke pangkuan PH yang memenangkannya di Simpang Renggam dalam PRU14 lalu?
Oleh kerana Dr. Maszlee adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu mempunyai komposisi pengundi Melayu 59.60%, Cina 30.8%, India 8.84% dan selebihnya adalah kaum-kaum lain, pilihan yang terbaik untuk beliau terus berpeluang cerah mengekalkan kerusinya ialah dengan kembali kepada PH.
Dalam hal ini, sudah tentulah piihan parti yang sesuai untuk beliau sertai ialah PKR.
Menyertai parti lain seperti Bersatu yang sedang bermasalah besar dengan UMNO adalah pilihan yang sama seperti kekal dalam Pejuang – hanya jalan mati dan tiada peluang untuk menang lagi.
Pada PRU14 lalu, Dr. Maszlee berjaya memenangi kerusi Simpang Renggam atas tiket PH yang menggunakan logo PKR dengan memperolehi 18,157 undi menewaskan calon Gerakan yang mewakili BN, Liang Teck Meng yang mendapat 14,682 undi dan calon Pas, Mohd Jubri Selamat yang memperolehi 2,983 undi.
Hanya bersama PH memberinya harapan untuk menang lagi di Simpang Renggam.
Bersekali dengan keputusan Dr. Maszlee itu, seorang lagi ahli jawatankuasa Pejuang, Dr. Shahruddin Salleh juga boleh dianggap menempah jalan mati jika tidak segera membuat pilihan yang sama.
Dr. Shahruddin adalah Ahli Parlimen Sri Gading di mana komposisinya pengundinya ialah Melayu 65%, Cina 33.17%, India 1.46% dan selebihnya kaum-kaum.
Komposisi pengundi yang hampir sama antara Sri Gading dengan Simpang Renggam itu menunjukkan kekal bersama Pejuang atau menyertai Bersatu bukanlah pilihan untuk Dr. Shahruddin mampu kekal lagi di kerusi tersebut.
Tambahan lagi, dalam tulisannya pada 1 Jun lalu, beliau antara lain menulis – cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU15 nanti? PN atau PH? Itu jugak adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH?,.. Saudara jawab!!!
Berdasarkan hakikat tersebut, kembali kepada PH dan sebaiknya menyertai PKR, sama seperti Dr. Maszlee juga, ia adalah pilihan yang tepat bagi Dr. Shahruddin meneruskan perjuangannya dan bagi memungkinkannya mampu menang lagi di Sri Gading.
Tidak sekadar itu, dengan keputusan Pejuang untuk bersendirian dalam PRU15 akan datang, bagi tiga kerusi lainnya iaitu Langkawi dengan komposisi Melayu 90.37%, Cina 6.51% dan India 2.4%, Jerlun dengan Melayu 91.23%, Cina 6.89% dan India 0.1% serta Kubang Pasu dengan komposisinya Melayu 86.49%, Cina 8.53% dan India 3.46% – ia juga sukar untuk dikekalkan lagi.
Lebih sukar jika sehingga PRU15 akan datang, permohonan
Pejuang untuk mendaftarkan partinya tidak diluluskan oleh Pendaftar
Pertubuhan. MINDA RAKYAT
MR : PKR sedang berusaha menarik semua sokongan Pejuang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan