Cinca
on
KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Najib Razak
dianggap pengkhianat sekiranya menolak Belanjawan 2021.
Itu tegas Ahli Parlimen Arau yang juga Pengerusi Backbenchers Perikatan
Nasional (PN), Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk
Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah yang dinanti-nantikan terutama kepada
rakyat yang kehilangan pekerjaan.
“Saya ingin mengingatkan kepada Dewan Yang Mulia ini, sesiapa sahaja
termasuk sahabat saya dari Pekan (Najib) yang menolak bajet ini adalah
pengkhianat kepada rakyat.
“Sebab ini rakyat sedang menunggu, anggota kerajaan menunggu supaya bajet
ini diluluskan…mereka yang dibuang kerja menunggu agar mereka diambil
bekerja semula. Kita tolak bajet kita hina mereka, kita khianat mereka.
“Saya merayu, tapi kalau tuan-tuan tak mahu terima rayuan, terpulang. Saya
baca ayat al-Quran tadi,” katanya yang sebelum itu membacakan sepotong ayat
suci al-Quran berkaitan berita tidak benar sebagaimana sering berlaku ketika
ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan
(Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan turut mengingatkan agar ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang
tidak berprasangka buruk terhadap kerajaan hari ini serta tidak menganggap
lagi keberadaan kerajaan dengan menuduh ia sebagai kerajaan pintu belakang
atau tebuk atap.
Sebelum ini, Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana
Menteri mengulangi kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
hanya akan memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021 dengan meletakkan
syarat bahawa kerajaan perlu memenuhi beberapa tuntutan.
Antara perkara itu katanya, adalah kerajaan mesti membenarkan pencarum
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan secara sekali
beri atau one off sebanyak RM10,000 dan melanjutkan moratorium pinjaman bank
secara pukal sehingga enam bulan lagi termasuk mereka daripada kumpulan M40.
Najib ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 berkata,
kerajaan perlu melaksanakan cadangan berkenaan kerana ia tidak termasuk
dalam perbelanjaan kerajaan atau pengiraan defisit negara.
Malah, beliau percaya wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum pada
masa ini mampu dipulihkan dengan sokongan kerajaan dalam masa setahun atau
dua tahun lagi selepas krisis Covid-19 berlalu.
Kerajaan baru-baru ini meluluskan pengeluaran akaun 1 KWSP dengan lebih
longgar berbanding sebelum ini yang terdapat dalan Belanjawan 2021 semasa
dibentangkan di Parlimen. – MG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan