HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 November 2020

Ugutan kerajaan untuk sokong Belanjawan 2021 tidak berasas – Dr Mahathir

MGF280920_TUN-DR-MAHATHIR-14-1
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan dan mana-mana pemimpin kerajaan tidak ada asas mengugut Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 atas alasan jika Belanjawan 2021 ditolak, penjawat awam dan barisan hadapan tidak akan menerima gaji, pencen dan elaun.

Tegas Tun Dr Mahathir Mohamad, dakwaan itu tidak benar sama sekali.

”Semasa saya Perdana Menteri pada tahun 1999, Belanjawan 2000 yang telah dibentangkan dalam bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen telah dibubar pada bulan November tahun tersebut untuk pilihan raya umum ke 10 diadakan.

”Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baharu telah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan dalam bulan Februari 2000,” katanya.

Menurut beliau, peruntukan awal ini memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.

Peruntukan ini juga termasuk pembayaran peruntukan-peruntukan tambahan yang lain, sama ada untuk kementerian-kementerian ataupun untuk memudahkan kehidupan rakyat.

Dalam konteks ini, tambah beliau, Menteri Kewangan dan lain-lain pemimpin kerajaan amatlah tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang jelas bertujuan untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen bagi meluluskan Belanjawan 2021 walaupun ia adalah belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya.

Tegasnya, kenyataan berbaur ugutan itu secara langsung bertujuan mengekang Ahli-Ahli Parlimen daripada
melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik parti yang memerintah.

”Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan yang lain, jika belanjawan itu ditolak, rakyat dan penjawat awam akan menderita akibat dari sikap Ahli-Ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021.

”Jika itulah pendirian Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan, ia bermakna Ahli-Ahli Parlimen perlu memberi “blank cheque” dan menyokong untuk kelulusan belanjawan tersebut walaupun terdapat kecacatan yang nyata di dalam belanjawan tersebut,” ujar beliau lagi.

Oleh itu, Dr Mahathir mahu Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang di dalam keresahan kehilangan kuasa berhenti daripada mengeluar kenyataan yang tidak berasas, yang menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: