KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berakhir hari ini menuntut supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mesti diadakan apabila tempoh darurat tamat sama ada selepas 1 Ogos ini atau tarikh sebelumnya, jika darurat ditamatkan lebih awal.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perwakilan UMNO memberi kuasa kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memutuskan perkara itu dan ia akan dibawa dalam mesyuarat MKT akan datang.
Ahmad Zahid berkata, susulan keputusan sebulat suara perwakilan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada PRU-15, usul kedua itu turut menyatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bersama PN apabila Parlimen dibubarkan.
"Disebabkan PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO, maka ahli UMNO termasuk kepimpinan hendaklah patuh sepenuhnya kepada keputusan parti ini.
"Tidak harus ada dakwaan yang UMNO berada di persimpangan. UMNO tidak berada di persimpangan. Keputusan yang dibuat dalam PAU ini adalah jelas yang kami sudah mengambil keputusan besar.
"PAU ini bukan sekadar diikuti oleh delegasi di sini saja tetapi oleh 58 peratus lagi perwakilan yang bersidang di 190 bahagian UMNO secara maya," katanya pada sidang media, hari ini.
Ditanya mengenai tarikh akhir yang akan diberikan kepada PN untuk membuat keputusan berhubung PRU-15, Ahmad Zahid berkata, MKT akan membincangkan secara terperinci mengenainya.
Mengenai kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut disertai BERSATU akan kekal menerajui kerajaan negeri Sabah, Ahmad Zahid berkata, UMNO menghormati keputusan itu.
"Situasi dan landskap politik Sabah agak istimewa kerana mereka
berada dalam sebuah gabungan besar di sana iaitu GRS, maka apa yang
dinyatakan beliau adalah sesuatu yang menjadi pendirian dan pegangan
UMNO Sabah, dan kita hormatinya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan