HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

Hubungan UMNO-Bersatu: Amaran awal sudah saya berikan - Tun M

Abd Hadi Che Awang
Hubungan UMNO-Bersatu: Amaran awal sudah saya berikan - Tun M
Dr Mahathir ketika mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, 
Langkawi pada Selasa. -Astro AWANI
 
LANGKAWI: Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau telah memberikan amaran awal kepada kepimpinan parti itu mengenai kesan kerjasama dengan UMNO sebelum ini.
 
Jelasnya, adalah tidak mudah bagi Bersatu sebagai sebuah parti baharu menjalinkan hubungan dengan sebuah parti yang kuat dan telah lama bertapak di negara ini.
 
Namun, menurut beliau, perkara berkenaan tidak diambil peduli dengan kebanyakan pemimpin di dalam Bersatu menyatakan mampu menangani sebarang masalah berbangkit susulan kerjasama tersebut.
 
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa beliau turut ditawarkan untuk mengetuai gabungan baharu berkenaan namun terpaksa menolak atas prinsipnya yang tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana individu yang dihadapkan ke mahkamah.
 
"Waktu itu (sekitar penghujung Februari 2020), ada juga cadangan hendak lantik saya jadi Perdana Menteri dalam gabungan baharu.
 
"Saya kata tidak boleh hendak bekerjasama dengan orang yang dihadapkan ke mahkamah, dan saya bagi amaran bukan senang bagi Bersatu hendak bekerjasama dengan UMNO.
 
"UMNO lebih kuat dari Bersatu dan Bersatu parti baharu, jadi mereka kata boleh tangani masalah.
 
"Sekarang ini kita lihat, UMNO tidak mahu Bersatu, dan dia pun ada masalah dengan parti lain. Parti PAS juga ada masalah," kata Dr Mahathir.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi 'walkabout' di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.
 
Terdahulu, usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu, yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipersetujui sebulat suara perwakilan parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir pada Ahad.
 
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas menggulung perbahasan, berkata perhimpunan kali ini turut meluluskan usul Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) seramai 42 orang tidak akan bersama kerajaan PN apabila Parlimen dibubarkan.

Tiada ulasan: