HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mac 2021

Bersatu tak pernah bermuslihat dengan parti lain – Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah bermuslihat dengan parti lain.

Sebaliknya, parti itu sentiasa memastikan negara ini ditadbir dengan integriti dan kebajikan rakyat dibela sebaik mungkin, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, Bersatu tetap teguh dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan mahkamah dan menghormati kedaulatan undang-undang apabila menjadi kerajaan menerusi Perikatan Nasional (PN).

“Saya rasa tak ada sesiapa persoal kejujuran dan keikhlasan Bersatu menjaga kepentingan rakyat serta kepentingan bangsa dan agama.

“Malah, bila kita diasak, kita tetap tumpukan menjaga kebajikan rakyat dan kita tidak pernah bermuslihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful mengulas keputusan UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi PRU-15 bersendirian dan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.

Dalam pada itu Wan Saiful berkata, rakyat menjadi hakim bagi menentukan parti mana jujur dan prihatin terhadap nasib rakyat serta siapa bermuslihat untuk kepentingan lain. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: