HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Kita lawan jika PAS masih bersama PN, kata Tengku Razaleigh

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata kini PAS perlu putuskan adakah Umno lawannya selepas Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kerjasama dengan PPBM dalam ucapan dasarnya hari ini.

Ditemui pemberita ketika Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), Tengku Razaleigh berkata Umno kini sudah tidak ada apa-apa kaitan Perikatan Nasional dan oleh Umno akan melawannya.

“Kalau PAS masih di situ, kita akan lawanlah dia,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Namun, sekiranya PAS mengambil keputusan untuk bersama Umno menerusi Muafakat Nasional, parti Islam itu juga mesti menjauhi PN.

“Inilah keputusan penamatnya,” katanya.

Zahid dalam ucapannya berkata Umno tidak akan mendukung Perikatan Nasional kerana tidak senang dengan gelagat politik PPBM, menuduh parti itu berniat untuk menghapuskan dan menggantikan Umno.

Mengenai kerjasama dengan PAS menerusi MN, Zahid berkata piagam MN “belum sampai ke penghujungnya, namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan”.

Beliau mengingatkan PAS tindakan berpijak “di tapak berbeza” tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi pertambahan kerusi.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menggesa wakil rakyat Umno menyambut ucapan Zahid dengan melepaskan jawatan menteri atau timbalan dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan “kalau boleh hari ini”.

Beliau berkata ucapan Zahid itu menjawab cadangan mesyuarat perwakilan Umno bahagian dan menegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi parti berhubung kerjasama dengan PPBM.

“Bererti semua ahli Umno…mesti tarik diri. Kita juga sebelum ini selalu bertanding solo, kalau tidak yakin macam mana kita hendak bertanding,” katanya.

Tiada ulasan: