HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Mac 2021

Semua parti politik bertanggungjawab terhadap isu lompat – Khalid

MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI22
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berucap pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Semua parti-parti politik di negara ini perlu bertanggungjawab terhadap isu lompat parti yang sememangnya menjadi masalah besar.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berkata, ia bukan sekadar isu mengenai lompat parti sebaliknya turut melibatkan parti yang sanggup ‘menyambut’ golongan yang melompat itu.

Katanya, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan dan perlu ditangani segera.

“Oleh kerana itu, semua kena bertanggungjawab dalam persoalan ini (lompat parti). Bukan sekadar yang lompat tetapi juga parti-parti yang sanggup sambut golongan yang melompat ini.

“Kalau parti-parti lain tak sanggup sambut golongan yang lompat ini maka, budaya lompat parti tidak akan jadi satu masalah kerana bila tiada orang sambut tiada orang yang akan lompat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Demokrasi di Malaysia di ibu negara hari ini

Terdahulu, Khaled menjadi panelis dalam program yang dikendalikan bekas Ketua Pengarang Astro Awani, Kamarul Bahrin Haron.

Turut menjadi panelis dalam forum tersebut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan Sufian dan Ahli Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Mengulas lanjut, Khalid mendakwa, amalan demokrasi menjadi rosak apabila berlakunya pengkhianatan dalam kalangan wakil rakyat daripada parti Pas, UMNO dan GPS.

Katanya, ia adalah salah satu daripada etika politik apabila sesebuah parti dijadikan sebagai pembangkang maka parti itu harus terima hakikat bahawa mereka adalah pembangkang.

Ujarnya, perkara itu sangat relevan kerana dalam penubuhan AMANAH itu sendiri ia berpunca daripada parti Pas yang dilihat melakukan khianat terhadap Pakatan Rakyat (PR).

“Dalam kes kami dulu sebagai ahli Parlimen Pas yang kami tinggalkan dan bentuk AMANAH oleh kerana kami lihat Pas sudah khianat parti PR.

“Undang-undang seperti (anti lompat parti) ini mesti disokong oleh semua kerana ianya memerlukan dua pertiga sokongan di dalam Parlimen.

“Jika ia tak dapat dilaksanakan hanya atas sebab Pakatan Harapan inginkan tanpa adanya sokongan daripada parti-parti yang lain atau ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain ia tidak akan menjadi.

“Maka ini merupakan satu perkara yang cukup penting untuk menjamin demokrasi dapat diamalkan dan dihayati,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: