Adun Seberang Jaya mendakwa perbahasan Johari Abdul mengelirukan dan tidak berasaskan fakta dan data yang tepat.
Menjawab pertuduhan dan kecaman Johari Abdul Ghani, pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di dalam ucapan perbahasan beliau semalam, ternyata hujah yang dikemukakan adalah mengelirukan dan tidak berasaskan fakta dan data yang tepat tentang prestasi pelaburan asing negara.
Menurut laporan The United Nations Commission on Trade and Development (Unctad), aliran pelaburan langsung asing (FDI) antarabangsa telah mencatatkan penurunan sebanyak 42 peratus iaitu daripada AS$1.5 trillion pada 2019 kepada AS$859 billion pada 2020. Namun, prestasi pelaburan asing negara perlu melihat kepada keupayaan negara menarik FDI dari sudut gross FDI inflows di mana menampakkan peningkatan sejumlah 5.8 peratus kepada RM 108.3 billion pada Januari – September 2020, meskipun negara mendepani cabaran persekitaran ekonomi global yang sangat mencabar berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.
Peningkatan prestasi pelaburan langsung asing ini merupakan cerminan kepada 4,599 projek pelaburan berimpak tinggi yang telah diluluskan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM164 billion pada tahun 2020.
Beliau telah memetik angka-angka dan statistik yang dilihat tidak menyeluruh dan “selective” dengan niat untuk memperkecilkan usaha dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional khususnya menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali dalam usaha mencerdaskan semula aktiviti perdagangan dan pelaburan negara bagi memperkukuhkan prestasi ekonomi negara.
Sekali lagi dakwaan beliau bahawa negara tidak mempunyai “competitive advantage” dengan negara-negara serantau adalah bersandarkan fakta yang tidak jelas dan selektif bagi mengaburi usaha Kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem pelaburan negara. DHL Global Competitiveness Index (GCI) 2020 telah meletakkan Malaysia di tangga kedua di antara negara-negara Asia Pasifik dan keenam belas (16) dari 169 negara untuk hubungan perdagangan.
Kajian bersama oleh KPMG dan The Manufacturing Institute di AS yang bertajuk ‘Cost of Manufacturing Operations around the Globe’ juga meletakkan Malaysia di tempat keempat (ke-4) di antara 17 ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India. Tambahan pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dalam senarai Doing Business 2020 Bank Dunia dan ke-27 dalam Daya Saing Dunia IMD 2020.
Penarafan kedudukan ini oleh badan-badan antarabangsa membuktikan bahawa Langkah-langkah yang sedang dijalankan berada di landasan yang tepat untuk meningkatkan lagi daya saing Malaysia bagi mempromosikan pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi negara.
Selaku bekas menteri kewangan II dan ahli Parlimen yang ditolak dalam pilihan raya lalu kerana skandal 1MDB, beliau harus lebih tahu tentang situasi kini yang dihadapi oleh negara dalam mendepani krisis ekonomi global yang kian mencabar. Beliau tidak harus menipu diri sendiri dan sepatutnya keluar daripada tempurung untuk melihat dan mendalami visi strategik kerajaan dalam memajukan agenda pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.
Aspirasi kerajaan Perikatan Nasional adalah memastikan negara Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, “high-income nation” dalam tempoh 5 tahun mendatang. Usaha ini menuntut kebijaksanaan pentadbiran negara pada hari ini untuk bersikap selektif dalam memastikan projek-projek pelaburan asing ke dalam Malaysia adalah berimpak dan bernilai tinggi dan merangkumi elemen berteknologi tinggi sejajar dengan transformasi digital dan revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang pada akhirnya akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu yang berkualiti untuk ditawarkan kepada rakyat.
Apakah beliau mahu negara kita menjadi “dumping ground” akibat menerima segala bentuk projek pelaburan asing yang tidak berkualiti dan bermanfaat kepada agenda pembangunan ekonomi negara? Adakah kita mahu berterusan bergantung kepada kemahiran tenaga buruh asing untuk mempelopori dalam projek-projek pelaburan yang tidak berimpak tinggi seperti mana yang berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional terdahulu.
Saya
menasihatkan kepada beliau untuk tidak meneruskan amalan dan tabiat
beliau dari dulu yang terus mahu berbohong dan mengelirukan rakyat
dengan berkongsi fakta-fakta separa benar dan menidakkan segala usaha
dan ikhtiar Kerajaan bagi mencerdaskan semula prestasi pelaburan dan
ekosistem ekonomi negara dalam mendepani cabaran ekonomi global dan
krisis pandemik Covid-19. MALAYSIA NOW
(*) Afif Bahardin adalah Adun Seberang Jaya yang juga merupakan timbalan pengerusi Biro Penerangan Bersatu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan