KLANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia menghadapi pertembungan dengan UMNO sekiranya parti itu masih bertegas enggan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara jelas menyatakan tidak khuatir berlaku persaingan banyak penjuru di kerusi bakal ditandingi kelak.
“Jika keadaan ini memaksa kita untuk bertembung (dengan UMNO), maka kita akan bertembung.
“Kita bersedia, malah dengan sesiapa pun kita boleh bersaing,” katanya pada sidang akhbar selepas program Dialog Penerangan Bersatu Malaysia di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan UMNO diingatkan tidak terlalu ghairah berbicara soal pengagihan kerusi pada PRU-15 sehingga menutup peluang Bersatu untuk bertanding dan menunjukkan kewibawaan parti itu.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata, partinya tidak mahu kelihatan angkuh apabila berbicara soal kerusi.
Namun, menurut beliau, Bersatu sanggup berdepan dengan UMNO sekiranya parti itu nekad mahu membolot kerusi yang dipertandingkan.
Kenyataan itu dibuat Muhyiddin sebagai mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang menekankan bahawa konsep ‘perpaduan ummah’ dan penyatuan Melayu perlu dipimpin parti berkenaan dan bukannya parti lain.
Mengulas lanjut, kata Wan Saiful, Bersatu akan memastikan parti itu kekal kukuh sebagai persediaan menghadapi dan memenangi PRU-15.
“Kita kini sudah menghidupkan jentera penerangan menerusi pelbagai program yang ada. Selain itu, jentera pilihan raya mula bergerak secara aktif di seluruh negara,” ujarnya.
Bagaimanapun, pada masa sama, beliau turut mengatakan bahawa kesatuan yang ada antara tiga parti Melayu terbesar di negara ini terus dikekalkan.
“Jika undi Melayu berpecah, kemungkinan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi cabaran sukar untuk mengekalkan kuasa politik sedia ada.
“Kita perlu realistik kerana cabaran kita kini bukan saja mengenai parti A melawan parti B, namun ada kelompok pengaruh dalam Pakatan Harapan (PH) terutama di Selangor. Kita harap wujud ruang perbincangan yang dibuka untuk membuat keputusan terbaik.
“Pastikan apabila tiba masanya untuk buat keputusan, maka keputusan itu yang terbaik untuk perjuangan kita, demi agenda bangsa dan agama,” katanya.
Ketika ditanya mengenai peluang untuk merampas semula Selangor, beliau memaklumkan PN yakin mempunyai kekuatan mencukupi untuk berbuat demikian.
“Persediaan di peringkat PN sudah lama dilakukan bagi merampas kerajaan negeri.
“Peluang kita (PN) amat cerah untuk mencapai kemenangan di Selangor dengan pelbagai program yanh dijalankan parti ketika ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan