DAHULU kedua-duanya sama-sama dilihat ‘lepak mamak’.
Namun selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hampir tiga tahun lalu, senarionya sudah berbeza.
Biarpun masih dalam satu parti, namun Khairy Jamaluddin tidak lagi teragak-agak untuk berbeza pendapat dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak – jauh berbeza ketika Najib berdepan isu 1MDB ketika dalam kerajaan lalu.
Malah dalam beberapa situasi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu sama ada ketika sidang akhbar atau dalam media sosial sedia menyanggah Najib secara selamba termasuk mengeluarkan ayat penuh sinis.
Ini termasuk pada sidang akhbar hari ini ketika Khairy mengulas pandangan Najib berhubung gesaannya supaya pemilihan parti perlu diadakan segera.
Tegas Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), walaupun UMNO menangguhkan pemilihan parti selepas PRU-14 pada 2018, parti itu tetap ‘lingkup’.
“Pada 2018 kita tangguh pemilihan UMNO selepas PRU, lingkup juga (kalah PRU),” kata Khairy yang menerajui sayap Pergerakan Pemuda UMNO pada PRU tersebut yang menyaksikan kekalahan pertama BN dalam sejarah.
Baca artikel berkaitan: Pemilihan sebelum PRU-15 cetus perpecahan UMNO – Najib
PAU nak PRU tahun ni, KJ pula nak pemilihan UMNO disegera
Penggunaan perkataan ‘lingkup’ oleh Khairy secara sinikal itu juga mengundang ketawa kecil Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berada sama dalam sidang akhbar itu.
“Kalah juga,” sambut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu secara spontan.
Khairy dan Reezal yang merupakan Menteri Belia dan Sukan mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC), di Putrajaya, hari ini.
Yang hadir sama timbalan Reezal di KBS, Wan Ahmad Fayhsal.
Untuk rekod sejak kekalahan BN pada PRU 2018, Khairy berubah menjadi antara pengkritik terbuka isu berkait 1MDB.
Pada pemilihan UMNO Jun 2018, Khairy tewas dalam perebutan jawatan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Reezal yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas dalam mengulas soal pemilihan parti berkata, beliau percaya sebelum atau selepas tetap memerlukan pemilihan.
“Kita selalu dok ulang UMNO parti yang matang, maka inilah masanya untuk tunjuk kematangan menerusi pemilihan.
“Pemilihan bagi mencorak hal tuju parti dan kembalikan hak kepada ahli-ahli setelah tiba tempohnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan