HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mac 2021

Srikandi Bersatu teguh bersama PM, sedia tanding semua kerusi

Bernama 

Rina Harun berkata segala bentuk provokasi dan cubaan mengganggu gugat kestabilan politik di negara ini perlu dihentikan.

Srikandi Bersatu akan sentiasa berdiri teguh bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan sedia bertanding di semua kerusi, sekiranya Umno tidak mahu bertoleransi.

Ketuanya, Rina Mohd Harun berkata politik yang sihat, mencipta rasa keamanan dan keharmonian kepada rakyat amatlah penting, dalam memastikan ketenteraman rakyat dan kestabilan ekonomi terpelihara, terutama ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19.

“Saya percaya kehidupan rakyat di negara ini sudah cukup terkesan dengan pandemik Covid-19. Sedemikian, sebagai ahli politik yang diberikan mandat oleh rakyat, saya dan semua ahli Srikandi Bersatu akan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat di akar umbi, dan bukannya menambahkan lagi kegelisahan rakyat.

“Ini adalah masanya untuk mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam melaksanakan pelbagai inisiatif rangsangan ekonomi yang telah diumumkan untuk kebajikan rakyat, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Srikandi Bersatu berpegang kukuh menjunjung prinsip perjuangan parti, yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara, serta memacu pembangunan ekonomi yang mapan, demi kepentingan rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Rina berkata segala bentuk provokasi dan cubaan mengganggu gugat kestabilan politik di negara ini perlu dihentikan.

Beliau juga menyeru semua pihak supaya bersatu tanpa mengira ideologi politik dalam memerangi pandemik Covid-19 dan fokus perlu diberikan kepada usaha kerajaan dalam mewujudkan imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tiada ulasan: