HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Perhimpunan Agung Umno 2020 suram, tanpa gerai jualan, pemerhati awam

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini PAU2020 suram tanpa pemerhati awam, gerai jualan dan pelbagai aktiviti lain susulan pematuhan SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Rata-rata pimpinan dan perwakilan mengakui Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 kali ini “suram” kerana berlangsung dalam suasana norma baharu tanpa kehadiran pemerhati awam dan tiada gerai jualan.

Keadaan itu berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini sewaktu perhimpunan itu sememangnya meriah dengan kehadiran penyokong, pemerhati awam dan gerai jualan yang banyak.

PAU kali ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan.

Semua perwakilan, pengamal media dan anggota keselamatan yang hadir mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Nurul Hasliana Hamsani.

Ketika ditemui FMT, perwakilan Puteri Umno dari bahagian Machang, Kelantan Nurul Hasliana Hamsani mengakui PAU kali ini agak janggal dan jauh suram berbanding sebelum ini yang meriah dengan ramai pemerhati bersorak di luar dewan.

Beliau berkata, tahun ini amat terasa kelainannya, malah tidak dinafikan terasa sayu.

“Kita tahu sekarang berdepan dengan Covid-19. Jadi masing-masing perlu patuhi SOP.

“Walaupun suasana agak suram tiada gerai, tetapi semangat perwakilan hadir di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC) dan yang menonton secara maya tetap utuh,” katanya ketika ditemui di PAU 2020.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dira Abu Zahar berkata, tahun ini PAU yang berlangsung selama dua hari sangat berbeza dengan pelaksanaan norma baharu.

Dira Abu Zahar.

Katanya, memang perwakilan dan pimpinan parti merasai kelainannya berikutan kemeriahan biasa dengan pelbagai aktiviti, sorakan pemerhati dan jualan di gerai.

“Sudah tentu lain sebab tahun ini buat separuh fizikal dan separuh secara maya.

“Terasa sangat kosong, tetapi intipatinya berjalan seperti biasa,” katanya.

Hanya perwakilan dibenarkan hadir

Dira juga berkata, hanya perwakilan yang dibenarkan hadir ke PAU 2020.

Katanya, ini bagi mematuhi SOP ditetapkan, iaitu hanya ketua, timbalan dan naib ketua bahagian serta ketua sayap yang datang.

“Hanya nak cukup korum. Kita ikut saranan MKN,” katanya.

Dira juga berkata selama dua hari ini perhimpunan itu akan mendengar perbahasan perwakilan setiap negeri.

Katanya, apapun ketetapan yang bakal diputuskan, beliau akan menerimanya untuk kepentingan parti.

Hubungan Umno-PPBM

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Hulu Langat, Omar Al-Khattab Kasim berkata, rata-rata perwakilan Umno akan mengikut keputusan Majlis Tertinggi dalam isu hubungan antara parti itu dengan PPBM.

Omar Al-Khattab.

Katanya, beliau sudah tentu bersetuju dengan saranan pimpinan parti untuk Umno/Barisan Nasional bergerak sendiri pada PRU15.

“Bagus tak ada kerjasama sebab semua dalam PPBM itu bekas Umno yang marahkan Umno.

“Umno mungkin mahu kukuhkan penyatuan ummah dengan PAS. Tetapi semuanya bergantung kepada strategi parti. Kita patuhi keputusan Majlis Kerja Tertinggi, ,” katanya.

Sementara itu, Hasliana yang juga ketua Puteri Umno Machang berharap Umno akan kembali menerajui kerajaan.

Katanya, rakyat pada masa ini sengsara disebabkan pertukaran kerajaan dan ekonomi yang semakin tidak stabil.

“Secara peribadi saya setuju Umno putus hubungan dengan PPBM.

“Kalau lihat PPBM dengan Umno tiada beza. Orang dalam PPBM itu orang Umno dulu. Mungkin mereka ada sedikit perasaan kecewa dan lari ke parti sana,” katanya.

Tiada ulasan: