HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Menteri, timbalan menteri UMNO perlu letak jawatan segera

Siti Hafidah

PAS disaran asing diri dari PN jika mahu teruskan kerjasama MN

BANGI – Pengerusi Lembaga Penasihat parti, Tengku Razaleigh Hamzah meminta pemimpin UMNO yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletakkan jawatan segera.

Selain itu, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lantikan PN juga perlu melepaskan jawatan mereka.

Tengku Razaleigh menjelaskan, tindakan itu selari dengan cadangan daripada UMNO Bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan untuk memutuskan kerjasama dalam PN.

“Cadangan daripada bahagian yang telah mengadakan mesyuarat perwakilan menegaskan sekali lagi apa yang telah diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“MKT memutuskan bahawa kita akan putus kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ia juga bererti semua ahli UMNO yang jadi menteri, timbalan menteri dan yang pegang jawatan dalam GLC mesti tarik diri mulai hari ini,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Ditanya sama ada ahli PAS dalam kerajaan PN turut perlu menarik diri daripada parti itu, beliau berkata, jika PAS bersama UMNO maka mereka harus berbuat demikian.

“Terpulang kepada PAS, jika mereka bersikap bersama dalam Muafakat Nasional jadi mesti asingkan diri daripada PN,” katanya.

Tiada ulasan: