Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu dan Presiden Perikatan Nasional berkata, persekapatan itu dicapai dalam pertemuan pada 29 Mac lalu.
Menteri-menteri UMNO dilaporkan telah bertemu dengan Muhyiddin sejurus Perhimpunan Agung UMNO membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Pertemuan yang dilakukan atas permintaan menteri-menteri berkenaan untuk mendapatkan nasihat Perdana Menteri berhubung keputusan tersebut.
“Saya telah menasihati mereka supaya terus kekal berada di dalam Kabinet. Ini mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
“Alhamdullilah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Muhyiddin, pada masa ini tumpunan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi negara.
Katanya, beberapa orang menteri dari UMNO memegang portfolio penting dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.
“Justeru saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan Kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.
Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa Kabinet akan terus berfungsi seperti biasa. Inisiatif kerajaan juga akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.
Seramai 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka yang dilantik ialah Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan – Menteri Pertahanan; Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Seterusnya, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli manakala Ketua Wanita UMNO yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Luar Negeri, Ahli Parlimen Rambau Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Ahli Parlimen UMNO yang dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Datin Mastura Yazid (Kuala Kangsar) di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).
Ahli Parlimen Kuala Krau yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri I, sementara Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia).
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah, menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, manakala Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad ialah Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.-SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan