HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mac 2021

Benarkan UMNO perjuang nasib rakyat?

Oleh KHAIRUL MOHD ALI

JOHOR BAHRU: Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) Johor mempersoalkan sama ada UMNO benar-benar memperjuangkan nasib rakyat atau retorik semata-mata.

Ketua Armada Bersatu Johor, Muhd. Shamsuddin Paijan berkata, hal ini kerana tindakan mereka dalam beberapa perkara baru-baru ini menggambarkan sebaliknya.

Jelasnya, ia termasuklah perihal sayap Pemuda UMNO yang ‘menghentam’ Bersatu pada Perhimpunan Agung UMNO, semalam.

Tambahnya, apa yang dibuat Pemuda UMNO itu jelas tidak profesional ketika menyatakan pendirian dan pandangan.

“Tidakkah Pemuda UMNO sedar mereka merupakan sebahagian dalam kerajaan di mana pelbagai saluran perbincangan boleh dilaksanakan bersama.

“Jika Pemuda UMNO menyatakan mereka ‘dibuli’, Armada Johor ingin tegaskan siapa yang buli siapa, tidak perlu mendabik dada dengan penuh gaya dan seloka yang penuh dengan hipokrit dan retorik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Muhd. Shamsuddin berkata, justeru menilai situasi semasa, pihaknya bersetuju menyahut seruan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Bersatu melawan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Armada Johor pada hari ini juga telah melaungkan semboyan untuk gempur sehabis baik bagi memenangkan calon Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya yang akan datang dan sentiasa berdiri teguh menggenggam panji perjuangan bersama Presiden Bersatu.

“Jika nilai toleransi tidak langsung dipeduli, kita tekadkan hati lawan sampai jadi. Jika pilihan perlu bertembung lawan, kami pasti tetap lawan,” ujarnya.

Semalam, Muhyiddin dalam satu sidang akhbar mengatakan kesediaan pihaknya untuk berdepan UMNO sekiranya parti itu tetap mahu membolot semua kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU akan datang.

Muhyiddin juga dilaporkan berkata mereka tidak mempunyai halangan jika UMNO memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 kelak.

Muhd. Shamsuddin turut mempersoalkan Ucapan dasar Sayap Pemuda UMNO di perhimpunan itu semalam yang seharusnya menjadi medan agenda memperkasa rakyat yang sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 telah menjadi medan perpecahan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: