Saharudin Musthafa
Datuk
Afdlin Shauki mengagumi semangat perjuangan Datuk Seri Anwar
Ibrahim
yang disifatkannya seperti tokoh terbilang Afrika Selatan, Nelson
Mandela. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Lima kali bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendengar sendiri
falsafah perjuangan politik Presiden PKR itu, akhirnya menemukan Datuk
Afdlin Shauki pada jawapan kenapa beliau harus memilih untuk
bersama-sama parti berkenaan dalam langkah politiknya.
PKR, kata Afdlin, misi parti itu, seiring dengan kecintaan beliau pada kerja-kerja kemasyarakatan.
Mendampingi
rakyat, menyantuni golongan tidak berkemampuan dan membantu mengubah
nasib golongan yang memerlukan adalah kerja-kerja yang sering dilakukan
Afdlin selama ini di bawah payung pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Justeru,
melihat ketekunan Anwar dan PKR meletakkan kebajikan rakyat pelbagai
kaum sebagai keutamaaan dalam perjuangan menyebabkan seniman itu
membulatkan tekad untuk berada dalam platform yang sama.
Dalam masa sama, Afdlin, 50, juga mengagumi semangat perjuangan Anwar yang juga Ketua Pembangkang.
Kata
Afdlin, segala kepayahan yang dilalui Anwar sepanjang beberapa dekad
dalam gelanggang politik benar-benar menyentuh hatinya.
“Perjuangan
Datuk Seri Anwar dari kaca mata saya seperti mana yang dilalui Nelson
Mandela. Seperti mana Nelson Mandela melalui kepayahan sehingga
dipenjara, demikian juga dengan Datuk Seri Anwar.
“Saya kagum dengan ketabahan dan kesabaran beliau,” kata Afdlin dalam wawancara bersama Astro AWANI.
Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 2013 merupakan bekas Presiden Afrika Selatan
yang mengetuai peralihan pentadbiran negara itu daripada minoriti kulit putih pada awal 90-an selepas 27 tahun dipenjara.
Afdlin yang menempa kemasyhuran sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan penerbit pada Selasa mengesahkan kepada Astro AWANI memilih PKR sebagai wadah politiknya.
Penyertaan Afdlin akan diumumkan secara rasmi oleh Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada malam esok.
Pernah
bersama UMNO sebelum ini, penghijrahan Afdlin ke PKR semata-mata untuk
bersama-sama Anwar melakukan perubahan pada gelanggang politik dan ke
arah kebaikan Malaysia untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Sebagai
seorang bapa kepada tiga cahaya mata, Afdlin berkata, untuk melihat
masa depan negara yang lebih gemilang, Malaysia harus dipimpin oleh
seorang pemimpin yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.
“Datuk
Seri Anwar memiliki ciri-ciri dan nilai-nilai kepimpinan yang
diperlukan negara. Saya tidak ragu-ragu untuk bersama PKR, mahu membantu
beliau membawa Malaysia ke landasan yang diperlukan,” ujar Afdlin lagi.
Selain
Afdlin, rakannya, Datuk Hans Isaac juga sebelum ini dilihat semakin
aktif dalam lapangan politik dan difahamkan PKR juga menjadi wadah
pilihannya.
Ditanya maklum balas daripada
golongan karyawan seni terhadap keputusannya untuk bergerak aktif dalam
politik, Afdlin berkata, sebetulnya ramai rakan artis yang mempunyai
keinginan sama sepertinya.
Namun,
kebimbangan sebahagian besar daripada mereka, tegas Afdlin, ialah risau
periuk nasi terjejas hanya kerana memberi sokongan secara terbuka pada
parti politik pembangkang.
“Kita tidak
boleh salahkan mereka kerana masing-masing perlu menjaga kerjaya. Namun,
saya amat yakin, sekalipun memilih untuk bersama parti politik apa
sekalipun, rezeki Allah yang akan tentukan.
“Perjuangan
saya adalah untuk masa depan generasi akan datang termasuk anak-anak
saya sendiri. Saya mahukan generasi akan datang dapat menikmati
kemakmuran di bumi Malaysia,” kata Afdlin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan