HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Mac 2021

Kenyataan Hasni dipengaruhi suasana persidangan

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
CHONG Fat Full (tengah) menyampaikan anugerah kepada penerima dalam majlis penyampaian Anugerah Pilihan Pengguna Tahun 2020 di Taman Daya, Johor Bahru di Johor.

JOHOR BAHRU: Kenyataan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin lemah di kawasan Parlimennya di Pagoh dibuat berdasarkan ‘persekitaran’ waktu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fat Full merumuskan ucapan Hasni itu dipengaruhi suasana dan semangat Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Kadang-kadang kenyataan ini dia boleh jadi kenyataan yang ‘circumstancial’ pada masa dan keadaan itu tapi kalau kita betul-betul nak lakukan sesuatu kena duduk dan habiskan semua cara untuk berbincang.

“Lepas itu kalau rasa tidak boleh (bekerjasama selepas berbincang) barulah kita fikir untuk berpisah (Parti Pribumi Bersatu Malaysia tidak teruskan kerjasama dengan UMNO),” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Pilihan Pengguna Tahun 2020 di Taman Daya di sini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor, Datuk Sawalludin Ahmad dan Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Dr. Kevy KV Yeo.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO berkata, Muhyiddin lemah di kawasannya dan berdasarkan kajian UMNO Johor mendapati orang Melayu di negeri itu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) hanya 26 peratus.

Fat Full berkata, pada waktu ini Bersatu dan UMNO tiada masalah di negeri ini malah berada dalam keadaan baik.

Namun jelasnya, sekiranya tidak mahu lagi meneruskan kerjasama, pelbagai aspek perlu difikirkan sebelum langkah tersebut diambil.

“Politik adalah dinamik dan berubah-ubah, apa yang kita nampak kadang-kadang tidak menggambarkan apa yang sebenarnya sedang berlaku. Apa yang saya tahu pemimpin-pemimpin UMNO di Johor memang berharap kita tidak melakukan perpisahan semasa pilihan raya umum (PRU).

“Ini kerana ia akan membawa implikasi di mana UMNO tidak yakin boleh menang PRU, Bersatu pula kalau bersendirian kita ada peluang tapi bukan keyakinan yang cukup.

“UMNO, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH), tiga blok ini tiada yang dominan dan cukup kuat untuk menjadi kerajaan (sekiranya salah satu blok menang PRU),” katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: