KUALA LUMPUR- Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang adalah hak parti itu.
Bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh partinya berkenaan keputusan berkenaan.
“Bagi Bersatu, usaha untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan menangani pandemik Covid-19 akan terus menjadi keutamaan demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) berkata keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 adalah muktamad.
Sementara itu, Ronald berkata, Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lalu membuktikan rakyat kini matang untuk menilai gabungan parti yang mampu menjanjikan tawaran baharu bagi mereka.
Jelas beliau, di Sabah, kekuatan tradisi melalui kerusi-kerusi tradisi bukan satu- satunya faktor pertimbangan bagi rakyat untuk menilai gabungan parti yang akan diangkat sebagai kerajaan.
“Toleransi politik yang berlaku dalam kalangan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hingga berjaya menumpaskan Parti WARISAN boleh dijadikan ikhtibar oleh semua.
“Nyatanya musuh politik UMNO bukan Bersatu tetapi Pakatan Harapan. Peliknya Bersatu dijadikan punching bag UMNO dalam PAU 2020,” tambahnya.
Selaras dengan pendirian Bersatu dalam kerajaan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin rakyat, Ronald menyarankan ahli Bersatu untuk terus bekerja keras dan merasai denyut nadi rakyat dimanfaatkan oleh rakyat.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan