HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

Fahmi Fadzil, tak perlu jadi hero UMNO – Nor Hizwan

MGF280120_SERAH-TUNJUK-SEBAB02
Setiausaha Politik Zuraida Kamarudin, Nor Hizwan Ahmad

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil diingatkan agar tidak mengerahkan bala tentera pembangkang untuk menyerang Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sedangkan ia belum pun berstruktur mahupun dilaksanakan sepenuhnya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad berkata, serangan bertali arus terhadap J-KOM dan terkini menuduh jabatan itu sebagai pencipta istilah kluster mahkamah hanya menyerlahkan ketakutan PKR.

“Terma kluster mahkamah adalah merujuk kepada, antara lainnya dua orang pimpinan tertinggi UMNO yang sedang berhadapan dengan 80 pertuduhan salah laku menurut peruntukan undang-undang.

“Biarlah mereka berhadapan dengan proses wajar dan tak perlu Pengarah Komunikasi PKR menjadi hero UMNO dan membela mereka.

“Ia bagi merealisasikan hasrat Presiden PKR kononnya menjadi Perdana Menteri hasil hubungan dengan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menolak istilah kluster mahkamah terhadap pemimpin UMNO yang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa, dalam langkah mengadakan kerjasama politik dengan parti Melayu tersebut.

Sebaliknya Fahmi tidak menolak kemungkinan istilah kluster mahkamah itu sebagai propaganda dan ciptaan J-KOM ketika dalam sebuah program bual bicara bersama pengalalisis politik, Datuk Seri Kamal Amir, baru-baru ini.

Fahmi merujuk J-KOM sebuah unit di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang dijenamakan semula daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dikenali sebagai unit propaganda di bawah Jabatan Perdana Menteri sepanjang pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Nor Hizwan pula menyifatkan beberapa kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa sidang media khas sebagai propaganda politik bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Cubaan meyakinkan rakyat dengan perkataan seperti I have the numbers, strong, convincing dan formidable kemudian bertukar kepada adequate.

“Ungkapan ini diulang-ulang adalah propaganda dan penipuan tidak bermaruah. Rakyat keliru, risau dan diporak-perandakan. Ini saya gelarkan kluster Mat Jenin!

“Zaman politik persepsi, retorik dan nostalgia sudah tamat. Sepanjang 22 bulan peluang pemerintahan yang diberikan dahulu telah disia-siakan oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Kini, nuansa politik tanahair sedang menuju norma baharu. Rakyat mengharap kepada politik khidmat. Kebergantungan kepada nostalgia dan harapan palsu sudah pudar,” katanya.

Menurutnya, Fahmi jangan pelik dan menuduh yang bukan-bukan jika PKR ditinggalkan oleh wakil rakyatnya dan anggota-anggota parti kerana wakil rakyat dipilih untuk membela nasib rakyat.

“PKR kini jauh tersasar dari prinsip perjuangan asal membela rakyat kepada membela pemimpin, jadi jangan salahkan sokongan yang surut mengecut.

“Fahmi Fadzil dan Presiden PKR kini semakin angkuh, takbur dan semakin mirip kepada perangai UMNO. Seolah-olah hanya mereka sahaja yang layak, cerdik dan betul.

“Manakala yang lain salah belaka. Malapetaka besar sekiranya kluster mahkamah dan kluster Mat Jenin ini diberi peluang memerintah negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: