HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

UMNO perlu belajar hormat rakan komponen

Datuk Sivarraajh Chandran
UMNO perlu belajar hormat rakan komponen
Kepimpinan tertinggi UMNO diingatkan supaya jangan terlalu sombong dan 
syok sendiri. - Bernama
 
SAYA terbaca kenyataan Ketua Puteri UMNO Sungai Siput yang meminta agar Parlimen Sungai Siput diserahkan kepada UMNO kerana calon-calon MIC sebelum ini kalah untuk tiga kali berturut-turut.
 
Pertama saya ingin mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO supaya berhenti menggunakan taktik 'baling batu, sembunyi tangan' seperti ini.
 
Jika kamu tidak berpuas hati dengan MIC, anda boleh bercakap terus terang dengan kami.
 
Tidak perlu menghantar wakil bercakap tentang perkara-perkara yang melibatkan hal ehwal Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN), lebih-lebih lagi soal Parlimen Sungai Siput yang merupakan kerusi tradisi Presiden MIC.
 
Jangan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN diam seribu bahasa, tapi di luar menghantar orang untuk membuat kerja-kerja yang memalukan sebegini.
 
Jangan sombong
 
Kedua saya juga ingin mengingatkan kepada kepimpinan tertinggi UMNO supaya jangan terlalu sombong dan syok sendiri. Berhenti dahulu perangai hendak meminta semua kerusi untuk bertanding seolah-olah kamu boleh menang di semua tempat.
 
Kepimpinan tertinggi UMNO perlu belajar menghormati rakan-rakan komponen. MIC dan MCA setia bersama UMNO dalam BN sejak penubuhan lagi. MIC mahupun MCA tidak pernah lari daripada UMNO atau BN sewaktu susah.
 
Susah atau senang, MIC dan MCA tetap bersama BN. Apa yang pimpinan UMNO susah sangat hendak faham soal hormat-menghormati antara rakan-rakan komponen?
 
Pada asalnya kamu yang mahu berkerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui Perikatan Nasional (PN).
 
Kemudian apabila kerjasama itu tidak menepati kemahuan, kamu bergaduh pula dengan mereka tanpa berbincang dengan kami. Bila perbincangan kerusi dengan mereka tidak menepati kemahuan, kini kamu mahu mengambil kerusi-kerusi tradisi rakan komponen pula.
 
Kenapa tidak berani berbincang soal ini dalam Majlis Tertinggi BN?
 
Kamu mahu BN bersama kamu. Bukan main lagi memuji rakan-rakan komponen di Persidangan Agung UMNO 2020 di atas kesetiaan dan sebagainya tetapi tidak sampai dua hari kemudian, kamu hendak menikam rakan komponen? Selesaikan dahulu masalah dalaman kamu sebelum campur tangan dalam hal ehwal rakan komponen.
 
Tanya UMNO
 
Kalau hendak dikatakan rakan-rakan komponen tidak bertolak ansur dengan UMNO, saya mencadangkan kita bertanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 'mengapa' dan 'untuk selamatkan siapa' apabila MIC melepaskan kerusi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tempoh hari?
 
Untuk selamatkan saya atau untuk selamatkan satu-satunya kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN ketika itu? Cuba jawab Presiden UMNO.
 
Kalau diikutkan logik kenyataan tersebut, sepatutnya Cameron Highlands pun dipulangkan semula kepada MIC.
 
Saya menang Parlimen Cameron Highlands pada PRU14. Calon-calon MIC sebelum saya juga tetap menang. Kenapa selepas PRK Cameron Highlands tempoh hari, UMNO mahu mengekalkan Cameron Highlands sebagai kerusi UMNO walaupun pada asalnya perjanjiannya adalah hanya untuk 'meminjam'?
 
UMNO harus menghargai pengorbanan kami, walaupun semasa pembentukan Kabinet di bawah PN tahun lalu, Presiden UMNO tidak membawa nama MIC untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Senator selain hanya mencadangkan pemimpin UMNO untuk dilantik sebagai ahli Kabinet dan Senator.
 
Adakah Presiden UMNO boleh menafikan perkara ini?
 
 
Bagaimanapun, atas dasar perjuangan BN, kami masih setia dengan UMNO sehingga hari ini. Jangan beranggapan kesetiaan parti-parti komponen ini membuta tuli.
 
Kami setia bersama kamu dalam BN. Belajar untuk menghormati Perlembangaan BN dahulu. Belajar untuk menghormati prinsip hormat-menghormati antara rakan komponen yang terkandung dalam Perlembagaan BN.
 
Jangan anggap MIC atau MCA hanya sekadar menjadi 'pak turut'. Kesetiaan kami pun ada hadnya.
 
Jawab dahulu persoalan yang dibangkitkan Presiden MIC. Siapakah calon Perdana Menteri BN untuk PRU 15? Tetapkan jawapan untuk soalan ini terlebih dahulu sebelum kamu hendak menyentuh hal ehwal rakan komponen dan berunding kerusi-kerusi komponen bagi pihak MIC dan MCA.
 
Jangan anggap semua perkara perlu dan akan berlaku berdasarkan kemahuan anda semata-mata. Seperti mana kamu berhak untuk mengambil keputusan demi parti kamu, kami juga berhak untuk mengambil keputusan demi parti kami. Tidak semestinya kedua-dua keputusan itu sama.
 
Hormat rakan komponen terlebih dahulu jika mahu rakan komponen menghormati kamu. Jika UMNO merasakan mereka terlalu kuat dan tidak memerlukan sokongan rakan-rakan komponen, baiklah bertanding pada PRU15 nanti dengan memakai lambang mereka sahaja.
 
Tidak perlu lagi bertanding sebagai BN.

* Penulis adalah Naib Presiden MIC.

Tiada ulasan: