Hasrat akar umbi supaya ‘No DAP, No Anwar’ perlu dipatuhi
BANGI – Jika tiada sebarang penegasan dibuat terhadap tindakan melanggar disiplin parti, sudah tentu UMNO akan sukar dihormati kawan dan lawan.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid berkata, hal berkenaan mungkin disebabkan janji yang sukar dipegang.
“Begitu juga disiplin parti dalam UMNO yang banyak berlegar dakwaan pemimpin tinggi UMNO sendiri melanggar keputusan parti ‘No DAP, No Anwar’.
“Mungkinkah UMNO akan bertanding sendirian, bergabung secara rahsia atau terbuka dengan parti politik lain? Ini adalah hak UMNO, tetapi ahli mempunyai tanggungjawab besar menentukan hala tujunya kerana parti itu bukan milik kelompok dan pemimpin tertentu, sebaliknya milik semua,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Yazid berkata, memilih pimpinan baik dan lebih menjamin maslahat dan kesejahteraan serta kestabilan bangsa adalah tanggungjawab semua parti.
Tegasnya, keputusan umum dinyatakan akar umbi iaitu ‘No DAP, No Anwar’ perlu dihormati dan dipatuhi.
Tambahan pula, katanya, bergabung atau bekerjasama secara sulit dengan PKR dan DAP tidak akan membawa kekuatan kepada UMNO.
“PKR dilihat kebanyakan orang Melayu sebagai bukan parti politik Melayu, sebaliknya parti politik liberal pelbagai kaum. Sokongan orang Melayu terhadap kerjasama UMNO dengan PKR diragukan pada umumnya.
“Hubungan rapat PKR dengan DAP akan menjadikan sokongan orang Melayu kepada UMNO lebih dingin andainya UMNO bekerjasama dengan parti politik ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, UMNO mesti sedar orang Melayu tidak boleh menerima DAP kerana falsafah dasar dan Deklarasi Setapak serta pengalaman 22 bulan ditunjukkan ketika berkuasa sudah cukup bagi sebahagian besar orang Melayu.
“UMNO jangan membayangkan kerjasama dengan DAP sudah menjamin lebih 40 kerusi Parlimen daripada DAP kerana tiada jaminan jumlah itu akan kekal dan pengundi Cina tidak berubah arah pada PRU-15.
“Perubahan sokongan menurun pengundi kaum Cina kepada DAP mungkin berlaku. Ketidakstabilan politik membawa kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara yang menjadi aspek penting bagi orang Cina.
“PAU (Perhimpunan Agung UMNO) kali ini mempunyai makna besar kepada hala tuju dan jatuh bangunnya UMNO dalam politik negara,” katanya.
Justeru, katanya, masih belum terlambat untuk ahli UMNO membuat keputusan tepat selari dengan hasrat majoriti rakyat yang mahu melihat penyatuan dan kestabilan demi kepentingan bangsa serta negara seluruhnya.
“Janganlah kerana berebut kerusi dan kuasa di negeri atau jawatan tertentu, maka seluruh negara akhirnya tergadai,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan