HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

‘Kita tak boleh terus begini’, Khairy beritahu Umno

Staff Writers   MALAYSIA NOW

Gesaan Khairy itu dilihat sependapat dengan Annuar Musa, rakan sejawatnya dari Umno dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Khairy Jamaluddin turut mendukung gesaan agar pemilihan Umno diadakan bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang selepas pemimpin parti itu memulakan usaha kerjasama baru bagi mendepani pilihan raya akan datang.

Dalam sebuah catatan di akaun Instagram, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata bahawa parti Melayu itu hanya boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang di bawah kepimpinan yang memiliki mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat.

“Segerakan pemilihan parti. Lakukan perkara yang betul, Majlis Tertinggi. You know, we cannot continue like this,” katanya dalam tulisan di akaun Instagram.

Gesaan Khairy itu dilihat sependapat dengan Annuar Musa, rakan sejawatnya dari Umno dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Annuar turut menggesa pemilihan parti diadakan sebagai kaedah terbaik bagi melancarkan perjalanan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pada fikiran saya setakat ini kita tidak ada satu sebab pun untuk menangguhkan (pemilihan),” kata Annuar dalam sebuah program bual bicara.

“Katakanlah sekarang (Ahmad) Zahid (Hamidi) mengemukakan satu gagasan untuk bertanding solo, untuk tidak bekerjasama dengan si anu, si anu, si anu.

“Cara terbaik bukan sahaja perwakilan kita yang terdiri daripada pengerusi perhubungan, buat endorsmeent, bagi pada ahli, serah mandat pada ahli,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2020 menyaksikan pemimpin-pemimpin parti itu memberikan sokongan kepada presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa untuk Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu dan kerajaan PN.

Zahid, dan bekas perdana menteri Najib Razak kini mengepalai siri serangan terhadap kerajaan walaupun ada sebahagian pemimpin Umno turut dilantik memegang jawatan kementerian dalam Kabinet PN.

Umno menunda pemilihan pada 2018 sebelum pilihan raya umum yang menyaksikan parti Melayu itu terpaksa menyerahkan pentadbiran kepada Pakatan Harapan (PH).

Pemilihan parti itu kemudian dilaksanakan pada 30 Jun 2018.

Dalam pemilihan tersebut, Zahid mengalahkan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden.

Zahid kemudian “bercuti” selepas beliau dijatuhi pelbagai pertuduhan rasuah, pecah amanah dan salah laku, namun kembali menjalankan tugas sebagai pemimpin utama parti itu selepas enam bulan.

Tiada ulasan: