HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Mac 2021

Adakah letak jawatan atau tarik diri baik untuk rakyat?- Shahril

Kasthuri Jeevendran
MGF30032021_FORUMDEMOKRASIMALAYSIA-32
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berucap pada Forum Demokrasi Malaysia di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL,

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melontarkan persoalan sama ada meletak jawatan atau menarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberi kebaikan kepada rakyat ketika ini.

Beliau yang juga Naib Pergerakan Pemuda UMNO berkata, pastinya perbincangan berkaitan persoalan itu akan dibincangkan sama ada tindak tanduk itu akan membawa impak positif atau sebaliknya.

Jelasnya, kepimpinan UMNO akan mengkaji segala sudut bukan hanya untuk kepentingan parti tetapi juga rakyat dalam membuat keputusan tersebut.

“Saya sangat yakin semua ini akan dipertimbangkan. Pendirian UMNO jelas dalam seperti mana ketika PAU 2020, pertama usul rasmi mengulangi keputusan Majlis Tertinggi (MT) iaitu tiada kerjasama ketika PRU-15.

“Tetapi pada masa kenyataan-kenyataan ketika perbahasan PAU 2020 juga menekankan juga ada hasrat untuk kita pula tentukan tarikh tarik diri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ada perbezaan di situ.

“Ada yang kata PAU 2020 tidak ada beza, itu salah kerana memang ada perbezaan. Mungkin ada tidak sedar. Antaranya, sebelum ini kita akan bersama PN sehingga PRU-15.

“Tapi kini pula kita akan bersama PN sehingga tarikh ditentukan oleh parti pada Menteri dan Ahli Parlimen untuk tarik diri. Jadi selagi arahan tidak dikeluarkan tidak timbul soal tarik diri atau letak jawatan.

“Soal tentang perbincangan menteri-menteri dan timbalan dengan Perdana Menteri saya tidak tahu, tidak ada sebarang maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi panelis dalam Forum Demokrasi Malaysia anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) yang bertemakan ‘Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia’ di sini hari ini.

Menurut Shahril lagi, UMNO juga kena fikir bukan parti sahaja sebaliknya juga untuk rakyat.

“Tentunya perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kelak tetapi saya ingin tekankan UMNO juga mesti fikir bukan untuk kepentingan UMNO tetapi juga untuk rakyat.

“Adakah dengan tarik diri sekarang adalah keputusan yang terbaik. Itu kena kita bincangkan.

“Sebelum ini saya ingin tekankan, kita putuskan untuk menyokong PN sehingga Parlimen di bubarkan hingga PRU-15 yang kita tidak pasti bila, mungkin tahun ini mungkin tahun depan. Kita tidak tahu perancangan kerajaan.

“Tapi kini UMNO ambil balik ‘kunci’ dengan menentukan tarikh menyokong PN.

“Ogos menjadi salah satu tarikh yang disebut oleh jurubahas negeri ketika PAU 2020 kerana Ogos dijadual darurat tamat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: