HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Teks ucapan dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2020


zahid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur yang memasuki hari kedua persidangan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyentuh pelbagai isu berkaitan suasana politik dan ekonomi negara, selain hubungan kerjasama dengan parti-parti lain dan menggariskan hala tuju UMNO di masa depan.

Berikut ialah teks ucapan penuh beliau yang dipetik di laman web UMNO Online:

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap
dan Timbalan Pengerusi Tetap
Timbalan Presiden UMNO
Naib-Naib Presiden UMNO
Presiden MCA
Presiden MIC
Presiden PBRS
Presiden PAS
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional
Ketua Wanita UMNO dan saf kepimpinannya
Ketua Pergerakan Pemuda dan saf kepimpinannya
Ketua Pergerakan Puteri dan saf kepimpinannya
Setiausaha Agung UMNO
Bendahari Agung UMNO
Ketua Penerangan UMNO
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Barisan kepimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional
Parti-Parti Bersekutu dalam Barisan Nasional.

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian di dalam dan di luar dewan, serta perwakilan-perwakilan secara maya di Bahagian-Bahagian seluruh negara.

  1. Izinkan saya merafa’kan kesyukuran di saat kita menghadapi pelbagai kesukaran dengan kehadiran pandemik Covid-19 kita masih dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita bersama dalam kelangsungan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO. Walaupun tidak semuanya secara bersemuka namun ia dapat disertai secara maya dalam dinamika dunia tanpa sempadan.
  2. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Agung, bahawa perhimpunan hari ini, memenuhi kehendak Perlembagaan Parti, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN). Malah perhimpunan ini juga telah mendapat permit polis.
  3. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri yang telah berjaya melaksanakan persidangan tahunan masing-masing. Saya menghayati setiap bait-bait suara hati Dato’ Seri Timbalan Presiden sewaktu merasmikan persidangan sayap-sayap semalam. Terima kasih kerana menyeru agar seluruh ahli UMNO mengukuhkan ukhuwah perpaduan untuk kembali melayarkan bahtera UMNO.
  4. Begitu juga saya menghayati ucapan Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri serta pandangan setiap perwakilan yang membahaskan usul-usul. Bak kata pujangga;

Layarnya jangan bekah,
Tiangnya jangan patah,
Dindingnya jangan rebah,
Biarpun pendayungnya ada yang berubah,
Bahtera ini terus belayar megah.

Sidang perwakilan sekalian,

  1. Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas atas keprihatinan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri dalam menyahut seruan hati nurani rakyat yang terkesan oleh penularan virus Corona. Usaha mewujudkan program sanitasi dan khidmat guaman percuma kepada mereka yang menghadapi kompaun RM10,000 pasti meringankan beban rakyat. Mereka juga membantu mangsa banjir di seluruh negara. Tahniah dan terima kasih.
  2. Sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, perjuangan UMNO tetap sama untuk membela rakyat. Justeru, UMNO sangat prihatin dengan realiti kehidupan rakyat. UMNO meletakkan hatinya dalam diri setiap rakyat. Kita tahu rakyat amat terkesan dengan pandemik ini. Lebih 800,000 telah hilang pekerjaan.
  3. Realitinya, dahulu ada yang memandu kapal terbang tetapi kini hanya memandu e-hailing dan ada juga yang menjadi penghantar makanan. Malah ada yang terpaksa membuka gerai dan payung menjaja di tepi jalan dengan uniformnya. Semua ini demi kelangsungan kehidupan.
  4. Lebih memeritkan lagi, rakyat dibebankan dengan kenaikan harga minyak. Disusuli pula kenaikan harga barangan keperluan tanpa kawalan. Dalam situasi rakyat semakin susah, mereka dihimpit pula dengan pelbagai penguatkuasaan undang-undang yang terlalu menekan.
  5. Kita amat simpati dengan kes seorang remaja di Batu Berendam yang pergi ke kedai runcit yang dikenakan kompaun RM10,000. Beliau hanya pergi untuk bertanya tentang ubat bagi ibunya yang sedang sakit di rumah.
  6. Begitu juga dengan kenaikan bil elektrik yang melambung kerana penggunaan penapis air, peti sejuk dan penghawa dingin sewaktu musim PKP, dan saya sendiri menuntut agar rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna.
  7. Kita juga dimaklumkan tentang adanya motosikal disita kerana ekzos yang diubahsuai. Janganlah sampai disita. Bagaimana mereka ingin meneruskan survival kehidupan, sedangkan itulah satu-satunya kenderaan yang mereka ada untuk mencari rezeki.
  8. Apakah kita sudah buta hati, dan kejam, membiarkan kehidupan rakyat terus menerus terbeban? Rakyat kecewa dan terus merana.
  9. UMNO membawa suara rakyat. UMNO konsisten memainkan peranan semak dan imbang (check and balance). Keperitan rakyat adalah keperitan kita semua. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa jua. Kerana itulah UMNO tidak henti-henti memperjuangkan pemberian moratorium tanpa syarat dan pengeluaran wang KWSP sekali gus berjumlah maksimum RM10,000. Namun, ia masih belum ditunaikan sepenuhnya. Pakej bantuan yang dijanjikan pun diberi “separuh masak”, dan tidak menyeluruh.
  10. Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan mengenai kebenaran penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam. Keputusan tersebut amat menyentuh perasaan umat Islam negara ini.
    Namun, pada hemat saya keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Mubarak memberi implikasi jauh lebih mendasar. Keputusan tersebut berpotensi untuk membatalkan banyak lagi peruntukan jenayah Syariah yang ada kini. Malah boleh melumpuhkan sistem undang-undang jenayah Syariah di Malaysia. Keputusan ini juga boleh menggugat kuasa negeri-negeri untuk menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah.
    Pandangan saya, dua keputusan mahkamah ini menyentuh Perlembagaan Negara kita. Mungkin kita perlu pinda Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan Undang-undang Syariah Islam lebih kukuh dalam sistem perundangan negara kita.
  11. UMNO secara tradisinya adalah tempat rakyat mengadu. UMNO is for the rakyat to seek solace. Inilah DNA UMNO.
    UMNO ini sebuah parti keramat, malangnya ia dijatuhkan melalui fitnah. Akhirnya kerajaan yang dibina oleh pemfitnah itu terjatuh juga dengan sendirinya.
  12. Maruah UMNO cuba dibeli. UMNO ditekan untuk dibubarkan. Tetapi saya menolak semua tawaran yang diberikan. “UMNO tidak akan menukar tuan, Tuan UMNO adalah ahli-ahli UMNO dan rakyat”. Saya selaku Presiden UMNO, memilih jalan sukar! Tidak tunduk dengan sebarang ugutan dan pertuduhan.

Sidang Perwakilan Sekalian

  1. Sesungguhnya, saya tidak keseorangan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh ahli peringkat akar umbi, rakan-rakan di bahagian-bahagian, negeri-negeri dan Majlis Kerja Tertinggi kerana bersama-sama saya untuk terus mempertahankan UMNO. UMNO tetap tegas dengan pendiriannya. Kita tidak akan terpengaruh dengan pujuk rayu kluster “apit lempang cencang galang” untuk merubah keputusan kita.
  2. Begitu juga dengan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi pada 12 Mac 2020. Saya ingin menjelaskan bahawa kita bersetuju untuk Ahli-ahli Parlimen UMNO, memberikan sokongan secara “en bloc” kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan.
  3. Selepas itu, sewajarnya-lah setiap keputusan yang hendak dibuat perlu dirujuk kepada parti, bukan dilakukan secara individu. Bak kata bidalan,

“Jika berkeluarga ada induknya,
Jika berjemaah ada imamnya,
Jika berparti ada nakhodanya”.

  1. Begitu juga dalam isu kerjasama dengan PPBM. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi daripada awal pembentukan kerajaan dalam Perikatan Nasional ada tempoh jeda waktunya. Ini adalah keputusan besar parti. Kita tidak boleh berganjak.
  2. Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto. Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai’e (collective). Ini adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad.
    Sidang perwakilan sekalian,
  3. Sebenarnya, tuntutan UMNO sebaik sahaja runtuhnya kerajaan PH, kita mahu PRU diadakan, untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. Bagaimanapun kesan penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia menghalang ia dilakukan. Sehubungan dengan itu, kita bersetuju jawatan Perdana Menteri diberikan kepada seorang pemimpin parti yang bilangan ahli Parlimennya paling kecil, dengan syarat, Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021 dan PRU hendaklah diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021, atau pada bulan Mac.
  4. Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat. Proklamasi darurat dibuat atas alasan untuk memerangi Covid-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu.
  5. Ahli-ahli UMNO dan rakyat menjunjung kasih ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atas titah menolak cadangan proklamasi darurat yang pertama. Keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang sentiasa mencemar duli bermusyawarah untuk menentukan tindakan terbaik bagi masa depan rakyat dan negara amat kita sanjung.
  6. UMNO turut menjunjung taat setia kepada titah proklamasi darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Dan, kita juga menjunjung kasih atas titah perkenan Tuanku untuk Parlimen bersidang.
  7. Namun, ada yang lebih sudu dari kuah. Mereka memberi pelbagai alasan supaya persidangan Parlimen tidak diadakan. Sedangkan Parlimen itu teras demokrasi negara. Rakyat amat berharap dengan adanya vaksinasi yang sedang dilaksanakan, Parlimen harus bersidang dan PRU-15 jangan ditangguhkan.

REALITI UMNO

Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian

  1. Realiti politik hari ini, memerlukan UMNO melakukan penjajaran penyesuaian politik baharu untuk meneruskan matlamat penubuhannya. Kerana itulah kewajaran dan kematangan saf kepimpinan UMNO menolak kerjasama dengan PPBM setelah kita sedari ketidakjujuran muslihat politik yang dilakukan oleh mereka terhadap UMNO.
  2. Ingin saya tegaskan, dukungan terhadap pembentukan kerajaan Perikatan Nasional adalah demi rakyat. Kerajaan sebelumnya menzalimi rakyat. Mereka gagal melaksanakan manifesto yang akhirnya mereka akui ia bukan kitab suci. Malah janji 100 hari pertama pun semuanya ke laut!
  3. UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam Perikatan Nasional. Ketetapan ini bukan hanya dari Majlis Kerja Tertinggi tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM. Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO.
  4. Jauh lebih besar daripada itu, rakyat dan negara sedang dibawa menuju kehancuran. Ini selaras dengan hadis Nabi Muhammad SAW,
    Yang bermaksud, “Tidak boleh dimudaratkan dan tidak boleh memudaratkan orang lain,” dalam erti kata lain sudahlah parti kita dimudaratkan, jangan pula rakyat dan negara ini turut dimudaratkan. Maka ijtihad (reasoning) kita memutuskan hubungan dengan PPBM adalah selari dengan tuntutan kaedah fiqh yang bersandarkan hadis tersebut.
  5. Kita sedar, malah semua ahli UMNO sedar, bahawa PPBM tidak mendapat dukungan rakyat sepenuhnya, dan tidak mempunyai sokongan akar umbi. Namun, hasrat ular lidi untuk menelan ular sawa terus dipergiatkan tanpa henti. Termasuklah muslihat politik ketika kita menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. Waspadalah! Muslihat mereka tidak akan berhenti selagi UMNO tidak hancur.
  6. Penolakan akar umbi telah pun diterjemahkan melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.
  7. Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya.

UMNO STABIL, NEGARA STABIL

Sidang Perwakilan sekalian

  1. Rakyat perlu sentiasa sejahtera. Sejahtera daripada ancaman luar dan dalam negara. Sejahtera dari segi kesihatan, ekonomi dan politik. Sesungguhnya, kerajaan bertanggungjawab memastikan rakyat berasa aman, sejahtera, cukup makan-pakai, boleh belajar dan ada tempat tinggal.
  2. Kestabilan mula tergugat apabila Pakatan Harapan menyerang UMNO dan Barisan Nasional. Bukan sahaja dari sudut politik biasa, tetapi dari segenap penjuru. Media baharu dipergunakan untuk menabur lada di bibir pendiam, dan menitik cuka di luka perbezaan. Akhirnya, mereka berjaya menjadi juara fitnah dan membina persepsi kotor, untuk dipilih menjadi pemerintah yang berpijak di lantai penuh dusta.
  3. Pembohongan tidak mampu menjadikan mereka pemimpin dan pemerintah berwibawa. Alhamdulillah, rakyat cepat sedar dan ramai sedang menunggu bilakah PRU-15 untuk menghukum pendusta yang membohongi mereka dahulu.
  4. Sesungguhnya ubat kepada politik semasa ini adalah kestabilan. Kestabilan Malaysia adalah kejayaan besar UMNO. Kita harus mengakui bahawa kestabilan politik merupakan kunci kepada kejayaan negara. Ia bukan hanya dalam bidang keselamatan malah dalam bidang ekonomi dan sosial.
  5. UMNO, melalui Parti Perikatan dan Barisan Nasional telah mentadbir negara ini selama 63 tahun. Pada zaman itu rakyat dapat mengecapi kestabilan. Hari ini kestabilan itu sudah tergugat. Semestinya, kita semua perlu menghargai kestabilan. Ia mesti bermula di sini. UMNO stabil, kerajaan stabil, dan negara insya-Allah, stabil.

MUAFAKAT NASIONAL

Sidang perwakilan sekalian

  1. Saya ingin menjelaskan jalinan politik antara UMNO dan PAS, berpaksikan kepada roh penyatuan ummah. Ia telah kita jelmakan dengan iringan deraian air mata ahli-ahli kedua-dua parti bersama doa, harapan dan restu rakyat. Bayangkan enam dekad lamanya kita bersengketa, akhirnya kita dapat bertentang mata. Sehingga mewujudkan piagam dan perjanjian persefahaman yang kita tandatangani pada 14 September 2019. Jangan kita lupa, dengan permuafakatan ini, kita telah memenangi tujuh pilihan raya kecil.
  2. Namun, setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik telah mula berubah. Ingin saya tegaskan kita hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudiannya dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional. Tidak disangka, ada pihak membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional tanpa penyertaan UMNO.
  3. Kita telah mempersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik. UMNO tetap tegas dengan pendirian ini. Kedua-dua kaki UMNO tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik UMNO tidak akan seperti lalang ditiup angin.
  4. Piagam Muafakat Nasional yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan. Apatah lagi, pertambahan kerusi.
  5. Kita yakin permuafakatan ini mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO dan BN kembali menerajui negara.
  6. UMNO sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman berkenaan kerana ianya merupakan doa dan harapan ummah keseluruhannya. Yakinlah Muafakat Nasional yang teguh mampu menjelmakan kekuatan politik untuk kita semua. Sesungguhnya Muafakat Nasional inilah merupakan langkah dinamik ke arah reset politik di negara ini.

RESET POLITIK

Saudara dan Saudari Sidang Perwakilan sekalian,

  1. Mari kita mengimbau sejarah penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974, selepas berlakunya tragedi kemusnahan perpaduan kaum yang menjadi detik hitam pada tahun 1969 di negara kita. Ia mengakibatkan kestabilan dan keharmonian yang dibina sejak merdeka berkecai di tengah jalan.
  2. Sesungguhnya penubuhan Barisan Nasional itu adalah reset politik yang pertama. Malah situasi yang menuntut reset politik sebegini pernah dialami dalam menangani krisis politik di Sabah dengan penubuhan UMNO Sabah menggantikan USNO pada tahun 1991.
  3. Perlu kita hayati landskap politik negara ini yang sangat dinamik. Selepas PRU-14, kita lihat perubahan kerajaan negeri di Johor, Melaka, Perak dan Sabah adalah bukti nyata. UMNO kembali menerajui kerajaan di tiga buah negeri berkenaan dan menjadi pimpinan kedua di negeri di bawah bayu. Inilah reset politik yang telah berlaku dan sedang kita alami.
  4. Sesungguhnya, ingin saya nyatakan bahawa tindakan reset politik tersebut ada kaitan dengan kestabilan dan keharmonian rakyat. Jika dahulu, negara tidak stabil kerana menghadapi rusuhan kaum. Pada kali ini, meskipun tidak ada pergaduhan kaum, ketidakstabilan politik menyebabkan negara terjebak ke kancah kejatuhan ekonomi. Apa yang telah kita bina selama ini hancur lebur.
  5. Adakah sesuatu yang mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset” yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini? Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.
  6. UMNO sangat terbuka untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu UMNO wajib terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu dominan, baharulah kita relevan.
  7. Untuk itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini.
  8. UMNO harus kembali kepada fitrah asalnya. UMNO memimpin bukan untuk dipimpin. UMNO memerintah bukan untuk diperintah. UMNO harus berdiri megah memperkasakan Barisan Nasional.
  9. Kita ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan komponen Barisan Nasional, MCA, MIC yang setia bersama UMNO sejak 65 tahun lalu, dan juga PBRS. Kita mengharungi susah senang, jatuh dan bangun bersama.
    Sahabat sejati adalah mereka yang sanggup berada disisimu ketika kamu memerlukan sokongan walau saat itu mereka sepatutnya berada di tempat lain yang lebih menyeronokkan.

EKONOMI PATRIOTISME

Sidang perwakilan sekalian

  1. Sedarlah, ekonomi negara kita amat tenat. Kita berada di ambang kemunduran. Poket rakyat semakin nipis. Kedai pajak gadai panjang berbaris. Wang simpanan kian habis. Ada yang sedih ada yang menangis. Tetapi ada pula kluster kayangan yang sanggup berhabis. Mereka langsung tidak menjiwai hati rakyat yang terhiris.
  2. Malaysia semakin ketinggalan. Laporan Bank Dunia menyatakan kita di belakang negara-negara ASEAN dari segi pelaburan dan pembangunan. Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh sebanyak 56% pada tahun 2020, manakala laporan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia adalah sebanyak 68%, paling corot di rantau ini.
  3. Berbanding sebelum PRU-14, Malaysia merupakan negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia. Sekarang kita kian ketinggalan. Negara jiran menerima limpahan pelaburan walaupun mereka turut dilanda pandemik Covid-19. Bagi menjadi kerajaan semula, kita perlu kemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak-hak rakyat yang telah hilang.
  4. UMNO perlu tampil dengan satu model ekonomi baharu yang berteraskan EKONOMI PATRIOTISME, yang bermatlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat di samping membina negara yang stabil. Agenda ekonomi bersepadu Barisan Nasional yang tergendala apabila kerajaan bertukar tangan pada PRU14 hendaklah dikembalikan.
  5. Ekonomi patriotisme hendaklah dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi bagi pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik Covid-19.

Sidang Perwakilan Yang dihormati

  1. Memahami realiti politik semasa, Barisan Nasional seharusnya bersiap-siaga. BN telah memutuskan akan menghadapi PRU-15 secara bersendirian. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15, pertamanya, kita mesti menang kerusi terbanyak. Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita.
  2. Dominan bukan bermaksud kita angkuh. UMNO adalah parti terbesar bangsa Melayu. UMNO adalah parti terbesar di negara ini. Apabila UMNO tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan. Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, Bahasa Kebangsaan diremehkan, aset-aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya.

Sidang perwakilan sekalian

  1. Kita bukan ego. Kita bukan angkuh. Kita tidak naif. Kita bukan juga anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan.
  2. Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?
  3. Sedarlah, politik ini ditentukan oleh kluster rakyat. Bukan kluster gila kuasa, bukan kluster broker, bukan kluster oportunis atau kluster lompat pagar. Bukalah minda dan berfikir dua tiga tapak ke hadapan, demi masa depan anak cucu kita.
  4. Ingatlah, Allah sentiasa menguji kita, sama ada sedar atau tidak. Allah menguji kita dengan kepayahan sewaktu 22 bulan PH memerintah. Allah menguji kita dengan kekuasaan dan kesenangan apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan. Namun, kita lebih mudah tewas kepada ujian kekuasaan dan kesenangan berbanding ujian kepayahan.

Sidang Perwakilan Sekalian

MOVING FORWARD

  1. UMNO hari ini diasak dari luar dan tidak kurang dari dalam. Sesungguhnya, UMNO tidak boleh untuk tidak berpadu. Perpaduan merupakan asas kepada keteguhan semua organisasi politik. UMNO tidak terkecuali dan wajib merapatkan saf di kalangan pimpinannya.
    As-Saf 4: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang tersusun rapi seumpama mereka satu bangunan yang kukuh.”
  2. Akar umbi parti serta rakyat amat mendambakan UMNO dan BN menjadi dominan semula. Kepimpinan di pelbagai peringkat perlu meraikan harapan ini dengan respons positif ke arah menjadikan ia suatu realiti.
  3. Kita amat bimbang jika kita terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga membuka ruang perpecahan dalam kalangan ahli-ahli UMNO, dan lebih parah lagi sekiranya setiap pemilik idea berkembang menjadi kabilah-kabilah yang akhirnya memecah-belahkan parti.
  4. Usaha untuk memecah-belahkan UMNO dari luar masih belum berhenti. Adalah tanggungjawab kita semua untuk menjadi ‘lidi seikat’ yang mampu menyapu kotoran dan menghapuskan persepsi negatif terhadap UMNO dan kita semua.
  5. Syabas saya ucapkan kepada akar umbi dan kepimpinannya yang tidak pernah goyah, walaupun ada kocakan di bumbung kepimpinan. Kita tahu, adanya pelbagai tawaran jawatan, pembelian pengaruh dan ugutan di peringkat cawangan, namun mereka tetap istiqamah, tetap teguh berada dalam UMNO.
  6. Akar tunjang inilah yang memastikan UMNO kukuh sebagai pohon subur untuk memayungi rakyat dan menjadi pengubat rindu UMNO untuk memimpin kerajaan semula. Doa dan harapan ini jangan kita gagalkan.
  7. Malah, hampir kesemua 22,000 cawangan, kesiap-siagaan untuk meredah medan pertempuran bagi memenangkan semula UMNO dalam PRU-15 nanti telah pun bergema. Mereka telah bersedia untuk mengembalikan kegemilangan maruah UMNO yang pernah tersimbah dengan kehinaan akibat kekalahan lalu.
  8. Di peringkat bahagian, kepimpinan dan dukungan seluruh jajaran saf kepimpinan cukup kukuh. Biarpun terdapat sedikit keributan, ianya hanyalah ‘ribut dalam cawan’ yang tidak melunturkan semangat kerja sepasukan dalam UMNO.
  9. Malah di peringkat Perhubungan UMNO Negeri juga, saya dapati kesatu-paduan yang jelas terpancar, daripada lontaran pandangan semua Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang turut dilibatkan dalam membuat keputusan parti di peringkat Biro Politik atau dalam Majlis Kerja Tertinggi.
  10. Saya amat menghargai pendirian Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang telah membuat pendirian mendukung institusi presiden dan menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM. Tahniah dan terima kasih.
  11. Marilah kita kembali merapatkan barisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk telah berlalu, kiambang perlu kembali bertaut. Mari kita mengorak langkah ke hadapan. UMNO yang pernah terluka dalam PRU-14, perlu bangkit semula bak harimau terluka mahu menerkam.
  12. Kita balut luka lama. Kita cari ubat untuk mengubati penyakit yang hinggap selama ini. Biarpun ubat itu pahit, namun kepahitan ubat itulah yang menjadikan ia mujarab untuk kesembuhan.
  13. Perlu saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi PRU-15;
    Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi ….. NO PPBM, NO ANWAR, NO DAP. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barisan Nasional.
  14. Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong.

UMNO … tidak akan menoleh ke belakang.

UMNO … mesti kekal relevan.

UMNO … mesti terus dominan.

Dan …

UMNO … terus mara.

Kepada Allah SWT kita berserah.

UCAPAN DASAR PRESIDEN
YB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2020
28 MAC 2021
DEWAN MERDEKA PWTC KUALA LUMPUR

Tiada ulasan: