HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Mac 2021

Bersatu mungkir janji, PRU bertukar proklamasi darurat

Siti Hafidah

Ikut perjanjian Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021

BANGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui, antara perjanjian kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) adalah dengan melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin parti yang bilangan Ahli Parlimennya paling kecil.

Bagaimanapun pelantikan itu dengan syarat, Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021 dan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021 atau pada bulan Mac.

Ahmad Zahid berkata, UMNO akan memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam pembentukan kerajaan PN setelah mendapati parti tersebut gagal menunaikan janji untuk mengadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat atas alasan untuk memerangi COVID-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar.

“Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu,” katanya seperti dilapor UMNO Online, hari ini.

Dedahnya lagi, pada awalnya UMNO bersetuju memberi sokongan secara ‘en bloc’ kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan setiap keputusan sewajarnya dirujuk kepada parti dan bukan dilakukan secara individu.

“Begitu juga dalam isu kerjasama dengan Bersatu. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) daripada awal pembentukan kerajaan PN ada tempoh jeda waktunya. Ini adalah keputusan besar parti. Kita tidak boleh berganjak.

“Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto.

“Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai’e (collective). Ini adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam PN.

Jelasnya, ketetapan ini bukan hanya dari MKT tetapi lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik Bersatu atas dakwaan mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO.

“Ia boleh dibuktikan apabila usul diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

“Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya,” katanya.

Tiada ulasan: