HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Mac 2021

SPRM enggan bertindak, RCI perlu untuk siasat ‘kartel polis’, kata Guan Eng

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan 
kewujudan sekumpulan pegawai polis yang membentuk sebuah kartel 
bagi mendominasi pasukan polis demi kepentingan mereka sendiri.

PETALING JAYA: DAP menyeru agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan “kartel polis” ekoran keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas isu itu.

Setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng dalam kenyataan berkata, penubuhan RCI diperlukan bagi mencari punca masalah itu dan “membersihkan pasukan polis”.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador mendedahkan kewujudan sekumpulan pegawai polis lebih muda yang membentuk sebuah kartel bagi mendominasi pasukan polis dan menjatuhkan beliau demi kepentingan mereka sendiri.

Susulan itu, Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata, agensi itu tidak bercadang menyiasat isu itu kerana ia masalah dalaman polis.

Lim menyifatkan rasional Azam bagi tidak membuat siasatan sebagai “aneh dan tidak masuk akal”.

“Rasuah bukanlah masalah dalaman yang harus diselesaikan secara dalaman tetapi jenayah yang mesti diselesaikan secara terbuka di mahkamah.

“Azam perlu tahu bahawa amalan terbaik antarabangsa terhadap rasuah, memerlukan badan bebas untuk menyiasat dan mengambil tindakan dan bukannya siasatan dalaman yang cenderung untuk meminimumkan atau menutup kesalahan yang berlaku,” kata beliau.

Mengikut logik Azam, kata Lim, SPRM tidak perlu menyiasat dan menahan pegawai polis atas rasuah, memandangkan ia dapat diselesaikan secara dalaman.

“Apakah keadaan yang menjadikan pelakuan rasuah satu masalah dalaman dan siapa yang memutuskan sama ada ia dapat diselesaikan secara dalaman?” soal beliau.

Lim menuduh SPRM melepaskan tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009, dan berkata, keengganan suruhanjaya itu menyiasat dakwaan Hamid akan mempengaruhi kredibilitinya.

Tiada ulasan: