“UMNO ini (umpama) gajah, kita parti terbesar. Jangan main silat pulut tak sudah.”
Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Menurut Mohamad, UMNO perlu dilihat serius dan mengotakan setiap apa yang diungkapkan melibatkan usaha menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), bukan sekadar memberi ugutan semata-mata.
Pada masa sama, Tok Mat turut memberi bayangan bahawa UMNO kemungkinan menarik diri daripada kerajaan PN pada bulan Ogos ini sebaik sahaja proklamasi Darurat tamat.
“Jika kita dah setuju nak tarik diri bulan 8, tarik diri bulan 8. Jangan main silat pulut tak sudah. Tau tak silat pulut itu macam mana? Dia bersilat depan pengantin, lama-lama dia letih sendiri.
Baca artikel berkaitan: Tiada perbincangan dengan Anwar, BN tanding solo PRU-15
“Saya dah kata UMNO ini gajah. Kita parti terbesar tapi apa guna jadi gajah kalau masuk hutan, satu ranting pun tak patah. Gajah apa bendanya?
“Sekali kita melangkah, jangan berundur. Sekarang kita dah bagitau langkah kita. Kalau nak langgar bulan 8, langgar..Jangan acah-acah je,” jelas beliau.
Dalam ucapan dasar pagi tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk menghadapi Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) secara bersendirian.
Ahmad Zahid juga menegaskan kepemimpinan tertinggi UMNO tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mana-mana parti lain termasuk DAP serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan UMNO sebagai parti terbesar negara tidak boleh berkompromi dalam apa juga bentuk dan keadaan.
Atas dasar itu, kata Tok Mat, UMNO mesti memimpin pentadbiran negara dan seharusnya menjadi syarat kepada sesiapa sahaja yang mahu menjalinkan kerjasama.
“Kita mesti bertindak betul-betul. Berfikir panjang dan apa yang paling penting apabila kita berniaga, kita jangan rugi.
“Dalam apa juga perkiraan kita, apa yang penting UMNO mesti untung. Kalau ada orang-orang yang masih menebal sikap yang tak mengakui bahawa UMNO adalah induk kepada negara. Susah.
“Kita ambil perhatian dan paling penting ialah kalau kita nak buat apa yang kita rancangkan, UMNO mesti menang. BN mesti menang. Bukan setakat menang tetapi mesti berupaya tubuh kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan