HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Jun 2021

Anwar nasihat ahli, pemimpin jangan jadi pengkhianat parti

Manzaidi Mohd Amin
MGF10042021_ANWAR-BICARA-TOKOH08
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli dan pemimpin PKR supaya terus istiqomah dengan perjuangan parti iaitu mempertahankan prinsip keadilan dengan menolak rasuah, keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa.

Presiden PKR itu menegaskan, sebolehnya beliau bersama kepimpinan yang ada hari ini akan mengingati sejarah buruk berlaku dalam kepimpinan parti ketika diberi kuasa memerintah tidak lama dahulu.

Katanya, ada pembesar tertentu memaklumkan kepadanya, bagaimana PKR mahu mempertahankan prinsip keadilan kalau ada segelintir pemimpinnya yang mendapat kuasa telah menyalahgunakannya.

“Baru-baru ini dalam perbincangan dengan orang-orang besar tertentu, mereka kata dalam PKR juga pernah mereka saksikan ada pemimpin yang bercakap berdegar-degar soal keadilan, tetapi bila diberikan kuaasa, dia korup, dia rasuah.

“Ini harus dijadikan peringatan kepada kita kerana bukan saja pimpinan terpalit, malah sakit hati penyokong juga terpalit kepada parti.

“Kita tidak mahu lagi pemimpin yang pada mata mereka hanya nampak kuasa dan wang,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden merasmikan Kongres Nasional Keadilan ke-15 secara maya, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) menyindir sikap berpura-pura seorang pemimpin, yang apabila diberi sedikit kuasa, mengambil kesempatan itu untuk mengumpul kekayaan luar biasa.

Tetapi, katanya, pada masa sama memberitahu kepada rakyat, yang beliau tidak mempunyai apa-apa kekayaan.

“Jangan kita anggap orang yang rakus kuasa, yang zalim, yang mengumpulkan kekayaan berbilion untuk diri, keluarga mereka, kemudian bersuara untuk menawan hati rakyat.

“Kononnya, dia tidak ada apa-apa, tidak ada kekayaan. Ini semua kerana kepintaran mereka menggunakan media, menggunakan sosial media, ada wang banyak, boleh gunakan bala tentera (cybertrooper) untuk buat kerja fitnah orang lain,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya PKR tidak memperjuang, menyuarakan dan memenuhi aspirasi rakyat terutama orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, perjuangan parti itu jelas iaitu akan perkenalkan dasar Bahasa Kebangsaan yang ada dalam perlembagaan, selain Islam agama persekutuan, soal hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Ujar Anwar, parti itu tidak pernah pertikainya, malah PKR lebih tegas dan berprinsip dalam hal itu dan melihat prinsip Raja Berperlembagaan yang sesuai dan tidak menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong sewenang-wenangnya.

“Tidak seperti sekarang hari ini, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat, tetapi apabila Tuanku nasihat supaya hentikan dan adakan sidang Parlimen, dia putar belit tindakan itu.

“Ini bukan prinsip Raja Berperlembagaan, ini peralatkan institusi raja,” tegasnya.

Beliau menasihatkan ahli dan pemimpin di ranting, cabang, negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ahli Majlis serta pimpinan pusat agar komited dan komitmen dengan perjuangan parti iaitu mempertahankan prinsip, menolak rasuah, keangkuhan dan salahguna kuasa. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: