HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Jun 2021

Buka Parlimen pada Fasa Ketiga pemulihan tidak masuk akal

MGF11062021_ZAHID-NGADAP-AGONG07-1
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ketetapan kerajaan Perikatan Nasional bahawa sidang Parlimen hanya boleh diadakan selepas negara memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara tidak masuk akal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada Fasa 3 semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

Sedangkan senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan Covid-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan.

”Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?,” soal beliau.

Dalam kenyataan itu, Ahmad Zahid yang Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mempersoalkan apa kaitan 40% populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin bagi membolehkan Parlimen bersidang semula sekitar bulan September atau Oktober ini memandangkan barisan Ahli Parlimen telah lama menerima suntikan vaksin Covid-19.

Dan, sepatutnya Parlimen selamat untuk diadakan.

Ataupun, sidang Parlimen masih boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan negara lain walaupun pintunya mahu terus ditutup.

Justeru, beliau bertanya pihak manakah yang sebenarnya sengaja cuba menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat berkenaan prinsip Demokrasi Berparlimen?

”Apapun kita terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting di Malaysia. Parlimen sebagai sebuah badan legislatif mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia.

”Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ianya telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: