Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 harus lebih telus dalam menjalankan peranannya, walaupun tidak diwajibkan kerana mempunyai banyak kuasa di bawah Ordinan Darurat, kata Ahli Parlimen Subang Wong Chen.
"Saya nak katakan bahawa kita sama sekali tidak gembira. Kami tahu mereka berahsia. Mereka harus keluarkan laporan.
"Ya, ini adalah darurat dan mereka memiliki begitu banyak kuasa, tetapi setidaknya hormatilah anggota parlimen, hormatilah rakyat dan buat laporan, beritahu kami apa fungsi jawatankuasa ini," kata Wong Chen dalam satu webinar yang membincangkan keperluan mendesak untuk Parlimen Malaysia dibuka dengan segera bagi melawan pandemik Covid-19, yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.
Webinar ini dianjurkan bersama oleh pemerhati pilihan raya Bersih dan Sinar Harian.
Selain Wong Chen, Ahli Parlimen Pengerang dan juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said turut menjadi ahli panel.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengumumkan bahawa ia bersetuju secara konsensus dengan penetapan beberapa kriteria dan nilai ambang (threshold) dalam membuat penilaian berkenaan sama ada proklamasi akan diteruskan atau tidak.
Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak menjelaskan secara terperinci berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Wong berkata tidak sukar untuk meneka kriteria dan nilai ambang ini, termasuklah seperti kadar jangkitan yang harus diturunkan ke angka tertentu atau kadar vaksinasi harus mencapai peratusan tertentu, seperti 50 peratus, sebelum darurat ditamatkan.
Bagaimanapun, Wong berkata adalah penting untuk jawatankuasa itu mendedahkan kriteria dan nilai ambang yang sebenarnya agar rakyat dapat memastikan kerajaan bertanggungjawab menamatkan darurat apabila nilai ambang itu dicapai.
Tidak hanya itu, Wong berkata kerajaan juga nampaknya hanya menggunakan darurat untuk tujuan politik, seperti menggantung sidang parlimen.
Tentera dapat dikerahkan untuk membantu vaksinasi
Tambah Wong, di bawah darurat, kerajaan sebenarnya mempunyai kuasa untuk menggerakkan tentera bagi membantu usaha memerangi pandemik Covid-19.
"Sudah lima bulan (sejak penguatkuasaan darurat) dan tentera sama sekali tidak dikerahkan. Tentera ada lebih 500 doktor dan jururawat, mereka dapat dikerahkan untuk membantu vaksinasi dan sebagainya,” katanya.
"Kerajaan juga mempunyai kuasa di bawah ordinan darurat untuk menasionalisasi harta persendirian. Saya fikir mereka akan menggunakan kuasa ini untuk mengambil alih hospital swasta, tetapi mereka tidak melakukannya.
"Saya tidak menyarankan mereka melakukan nasionalisasi, tetapi mereka ada kuasa. Mereka boleh katakan, 'baiklah, setiap hospital swasta harus menyediakan 20 peratus katil untuk pesakit Covid-19'.
"Mereka mempunyai semua kuasa itu, tetapi mereka tidak menggunakannya. Sudah jelas bahawa mereka menggunakan kuasa darurat untuk berpolitik, bukan untuk memerangi wabak,” tambah Wong.
Wong juga turut meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk 'melakukan perkara yang betul' dan 'bertanggungjawab'.
"Anda tidak boleh lari. Ini adalah isu legasi dan nyawa rakyat.
"Tolonglah fikirkan semula. Cari jalan yang betul,” katanya.
Tukar pendekatan lain
Sementara itu, Azalina berkata dia percaya bahawa Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, yang merupakan jurucakap kerajaan dalam hal isu Covid-19, benar-benar ingin menangani wabak tersebut.
Namun, katanya, mungkin pendekatan yang mereka gunakan selama setahun terakhir dalam menangani wabak itu sudah tidak efektif lagi.
"Mungkin kita perlu mengubah pendekatan kita," saran Azalina, menunjukkan vaksinasi sebagai penyelesaian yang efektif, seperti yang terbukti di negara lain.
Dia juga turut mendesak kerajaan untuk melihat lebih banyak saluran pengagihan vaksin ini bagi membolehkan proses vaksinasi di negara ini dipercepatkan.
Bercakap mengenai kuasa kerajaan di bawah darurat, Azalina berkata dia menjangkakan kerajaan akan mewajibkan vaksinasi, khususnya untuk warga emas yang berisiko tinggi.
"Itu adalah anggapan saya. Jadi saya harap kerajaan akan menggunakan (kuasa mereka di bawah) darurat sepenuhnya, bukan hanya darurat untuk alasan politik tetapi darurat untuk kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” tambahnya.
Azalina juga mengkritik amalan menuding jari, terutama ketika menyalahkan rakyat.
Kata Azalina Malaysia sangat beruntung memiliki warganegara yang menghormati, kerana, di negara lain, mungkin rakyatnya sudah keluar di jalanan untuk memprotes walaupun terdapat dalam keadaan pandemik sekarang.
“(Hashtag di Twitter) #RakyatGagal, setiap perkara kecil yang mereka mahu marahi rakyat, menyalahkan rakyat.
"Eh, jangan marah pada rakyat. Bapa borek, anak rintik. Mereka melihat apa yang anda lakukan dan mereka fikir, baik, anda boleh lakukannya, mengapa tidak mereka?
"Berhentilah menyalahkan orang. Ambil tanggungjawab. Sekiranya pendekatan A tidak berjaya, cubalah pendekatan B," kata Azalina.
Jawatankuasa darurat, yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berfungsi untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai darurat yang sedang berkuat kuasa, dan juga tarikh ia seharusnya berakhir.
Agong mengisytiharkan proklamasi darurat pada 12 Januari, yang dijadualkan berlangsung hingga 1 Ogos atau lebih awal, bergantung kepada keadaan Covid-19 di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan