HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Jun 2021

Henti berpolitik, jom bantu capai sasaran 80 peratus vaksinasi

ANALISIS

Setiap hari ada sahaja perkara yang dibangkitkan oleh pemimpin politik pembangkang dan pemimpin dalam kerajaan berjiwa pembangkang berhubung cara kerajaan menangani pandemik Covid-19. 

Apa juga tindakan atau langkah kerajaan ada saja yang tak kena. Dari pengumuman PKP, program bantuan hinggalah pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Hakikatnya, mereka pun faham wabak ini hanya boleh diatasi jika semua pihak mematuhi SOP dan menjayakan PICK.

Tetapi setiap hari isu yang dibangkitkan soal moratorium, yang dipersoalkan mengenai sidang Parlimen dan yang seronok mereka perkatakan ialah mencari kelemahan pelaksanaan PICK. Kalau macam inilah cara ahli-ahli politik Malaysia bertindak, ia sudah pasti tidak menguntungkan rakyat.

Hari ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan perkembangan PICK selepas 100 hari ia dilaksanakan. Ternyata dalam keadaan dikritik hebat, kadar vaksinasi dos pertama telah diberikan Malaysia merupakan antara yang tertinggi berbanding negara lain di Asia Tenggara.

Tetapi percayalah ia sama sekali tidak akan mengagumkan kelompok yang hanya tahu mencari salah kerajaan. Mereka juga tidak teruja dengan kenyataan Muhyiddin berhubung pemberian kepada lebih tiga juta suntikan dengan lebih dua juta penerima telah memperolehi satu suntikan dos vaksin Covid-19.

Dan sudah pasti mereka akan buat-buat tak tahu apabila Perdana Menteri berkata, pada permulaan program itu hanya kira-kira 5,000 hingga 8,000 suntikan vaksin diberikan setiap hari tetapi Malaysia telah berjaya meningkatkan suntikan vaksin harian kepada sekitar 100,000 sehari.

Inshaallah dalam tempoh dua bulan akan datang, kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin Covid-19 melalui pertambahan itu kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 sehari pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat.

Ternyata sekali PICK semakin menampak kejayaannya dalam usaha kerajaan melindungi seluruh rakyat Malaysia daripada risiko jangkitan lebih teruk dan menyelamatkan nyawa, seterusnya seperti kata Perdana Menteri membantu proses menjana semula ekonomi negara.

Oleh itu daripada pemimpin-pemimpin politk terus mahu berpolitik, lebih baik mereka berhenti sekejab daripada agenda itu, marilah bersama-sama membantu kerajaan menjayakan PICK.

Sebagai pemimpin politik berpengaruh dan sentiasa dilihat hebat dalam membuat hantaran-hantaran dalam media sosial atau membuat kenyataan media, apa kata gunakan kelebihan itu untuk mengalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar bagi mendapatkan suntikan.

Ia memandangkan Perdana Menteri sudah menyatakan sehingga hari ini hampir 13 juta individu telah mendaftar, ini hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak untuk menerima vaksin.

Di pihak kerajaan pelbagai usaha sedang dilakukan dan dipertingkat. PPV ditambah, pusat dan klinik perubatan swasta dilibatkan, unit-unit vaksinasi bergerak dilancarkan untuk bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses vaksinasi kepada penduduk kampung, Orang Asli, warga ems, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan gelandangan.

Justeru tak kanlah ahli-ahli politik yang bijak pandai dok mengkritik dan mempersoal kerajaan dalam menangani Covid-19, tengok sahaja tanpa membuat apa-apa bagi menjayakan PICK. Penulis yakin jika mereka ada masalah atau memerlukan apa-apa bantuan, pasti kerajaan melalui Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin sedia membantu.

Khairy sudah membuktikan perkara itu dengan bersedia berunding dengan sesiapa sahaja termasuk kerajaan negeri di bawah pembangkang bagi menjayakan PICK.

Jadi pemimpin-pemimpin politik ketepi sementara soal politik, pinggirkan sementara soal perbezaan politik, jom bersama-sama menjayakan PICK. Janganlah dok berhujah di Parlimen sahaja nak ketengah pandangan dan cadangan. Sebelum inipun apapun pandangan dan cadangan tetap diberi perhatian oleh kerajaan.

Covid-19 ini masalah kita bersama bukan soal bagaimana kerajaan menguruskannya. Kalau kita mahu negara keluar daripada krisis ini, ia tidak ada cara lain, selain kita bersatu menjayakan PICK dan turut berkempen memberi penjelasan kepada rakyat betapa pentingnya mereka mematuhi SOP.

Minta rakyat patuhi SOP bukan kerajaan hendak salahkan rakyat. Jadi bila ada pemimpin dok bercakap soal itu, macam pemimpin tersebut tak ada modal lain, maklumlah nak cakap banyak-banyak pasal pakej ekonomi, tak pandai pula nak ulas selain minta kerajaan bagi bantuan itu dan bantuan ini.

Sebenarnya semua kemelut yang melanda negara sekarang boleh diatasi dengan cara kita selesaikan dulu masalah Covid-19 ini. Apabila Covid-19 sudah dapat dinyahkan dari bumi Malaysia, keadaan sudah kembali normal barulah kita boleh bercakap soal lain termasuk politik.

Sekarang semuanya terbantut kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab besar dan berat untuk menangani pandemik tersebut, tetapi macam mana kerajaan hendak buat kerja,kalau pemimpin politik ‘dok kacau’ dengan mempersoalkan apa juga langkah kerajaan.

Oleh itu, bantulah kerajaan untuk memerangi Covid-19. Sama-sama berkempen supaya sasaran 80 peratus imuniti kelompok seperti mana dinyatakan oleh Perdana Menteri tercapai.

Janganlah hanya bijak bercakap, jangan hanya pandai berhujah sedangkan kita bagaikan tidak memberi apa-apa sumbangan dalam usaha menghapuskan Covid-19 dari bumi Malaysia tercinta ini.

Tiada ulasan: