HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Jun 2021

Jangan selektif guna kuasa darurat, kata Guan Eng kepada kerajaan

Lim Guan Eng memberitahu Tengku Zafrul Abdul Aziz, perkara itu boleh 
diselesaikan dengan penguatkuasaan kuasa darurat untuk meminda pelbagai 
undang-undang sepanjang tempoh krisis Covid-19.

PETALING JAYA: Kerajaan digesa tidak selektif dalam menguatkuasakan kuasa di bawah perintah darurat, kata bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng selepas penggantinya mendakwa tidak boleh mengarahkan bank dalam pemberian moratorium pinjaman.

“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh bersikap selektif dalam menggunakan kuasa darurat hanya apabila ia memanfaatkan dari segi politik, contohnya mengambil RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin dan kos berkaitan imunisasi dengan meminda Akta KWAN tanpa kelulusan Parlimen.”

Sebaliknya, Muhyiddin enggan bertindak dengan cara sama untuk meminda pelbagai undang-undang bagi memaksa industri perbankan melanjutkan moratorium pinjaman secara automatik untuk semua, katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sekalipun tanpa Ordinan Darurat, masih ada saluran perundangan lain bagi memaksa bank melaksanakan moratorium pinjaman secara menyeluruh, khususnya Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

“Walaupun kami tidak bersetuju dengan (Menteri Kewangan) Tengku Zafrul Abdul Aziz dan boleh memetik pelbagai perundangan yang membolehkan kerajaan memaksa pematuhan pihak bank, lebih mudah lagi jika kuasa di bawah perintah darurat digunakan untuk meminda pelbagai undang-undang sepanjang tempoh krisis Covid-19 ini.

“Para peguam telah mencadangkan pindaan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 seperti Akta KWAN, atau memperkenalkan semula Akta Langkah-langkah Sementara Covid-19 untuk menghalang industri perbankan mengenakan penalti bagi kegagalan memenuhi kewajipan mengikut kontrak.”

Tambahnya, moratorium tidak patut diberikan hanya berdasarkan tahap pendapatan peminjam, mahupun hanya untuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau perniagaan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebaliknya katanya, golongan yang terjejas pendapatan atau hasil perniagaan akibat PKP juga wajar menerima manfaat sama.

“Menafikan golongan M40 (pendapatan sederhana) dalam perkara ini bererti tiada simpati terhadap masalah kewangan mereka, seterusnya boleh mengakibatkan mereka turut termasuk dalam kumpulan B40 (pendapatan rendah) pula.”

Tiada ulasan: