HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Jun 2021

Kabinet PN paling tenang, bersemangat terus bekerja: Annuar Musa


Dakwaan yang mengatakan kerajaan PN gagal disebabkan oleh anggota Kabinetnya, adalah tidak benar. 
 
Meskipun pelbagai kritikan dilemparkan tatkala kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil tampuk pemerintahan, namun Kabinet PN paling tenang menjalankan tanggungjawab mereka, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menyifatkan Kabinet PN sebagai ‘Kabinet yang bekerja’ Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dakwaan yang mengatakan kerajaan PN gagal disebabkan oleh anggota Kabinetnya, adalah tidak benar kerana sehingga hari ini kerajaan PN konsisten memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kerajaan yang ada hari ini, apa pun yang orang katakan, mata yang saksikan perjalanan Kabinet dahulu dan sekarang, Kabinet ini paling tenang.

“Walaupun datang daripada luar parti yang bertelagah, tetapi dari segi bekerja sebagai satu kerajaan saya boleh katakan tiada pun satu insiden menteri berlaku pertengkaran, percanggahan pendapat dalam bentuk yang orang kata macam krisis yang kita tengok di luar,” katanya dalam program ‘Segalanya Tentang Kerajaan’ menerusi Garasi TV malam ini.

Jelasnya, meskipun Kabinet PN berfungsi dalam keadaan yang tidak ideal susulan ‘berkeceramuk’ kerana datang daripada pelbagai pemimpin parti yang tidak sehaluan sebelum ini, namun Kabinet PN ini dapat berfungsi dengan baik.

“Kabinet ini berfungsi dalam keadaan tidak ideal (kerana) sebahagian presiden parti tiada dalam Kabinet, sebahagian dilantik tak disukai oleh orang tertentu… ini kita datang dari pelbagai parti dicantum dengan majorti yang amat tipis.

“Tapi saya hendak berterus terang saya nak nyatakan walaupun begitu Kabinet ini saya tidak pernah lihat satu peristiwa ketegangan, kalau dahulu banyak berlaku pertelingkahan dalam Kabinet sehingga Perdana Menteri sendiri letak jawatan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan PN ketika ini fokus untuk terus memastikan nyawa rakyat menjadi keutamaan tatkala pandemik Covid-19 kian mencengkam.

“Kita pada setiap Rabu mesyuarat Kabinet, kita bincang secara harmonis hanya satu matlamat kerajaan PN ialah mengatasi krisis kesihatan, ekonomi dan sebahagian isu politik dan kita sekarang buat ketetapan untuk tidak fokus mengenai politik, sebaliknya nyawa rakyat menjadi keutamaan kita,”katanya lagi.

Tiada ulasan: