HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Jun 2021

Kaji kesan undang-undang, prasarana sebelum laksana Parlimen hibrid

AGENDA DAILY

Parlimen bukan tempat yang selamat daripada pandemik Covid-19 sekarang ini.

Persidangan Parlimen secara hibrid bakal membuka suatu perspektif baharu Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, mekanisme itu kini sedang diteliti oleh Jawatankuasa Khas yang mengambil kira pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.

“Jika cadangan persidangan hibrid ini diterima dan diperkenankan oleh Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, suatu proses persidangan inovatif akan muncul iaitu persidangan secara tradisional ‘bersidang di dalam Dewan’, bagi memastikan syarat minimum kuorum persidangan dipatuhi dan juga ‘bersidang secara maya’,” katanya.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini beliau bagaimanapun, berkata beberapa aspek penting sedang dalam penelitian Jawatankuasa Khas.

“Ini khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai demi memastikan antaranya tiada sebarang pelanggaran perundangan yang melibatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang berkuat kuasa pada masa ini.

“Ini lantaran konsep dan prosedur ini melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan termasuk Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan tetapi juga ketentuan baru berkaitan kelakuan serta tingkah laku Ahli-ahli Parlimen sendiri selain hal-ehwal prasarana dan kelengkapan legislatif,” katanya.

Rais berkata, Jawatankuasa Khas juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan rakyat pada hari ini serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan Pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Selain itu, beliau berkata Jawantankuasa Khas turut mengambil kira implikasi kuat kuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas para pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemas kini prasarana yang sedia ada membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator yang bertebaran di seluruh tanah air.

Justeru, katanya, dengan terlaksananya projek legislatif ini ia merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi perlu berfungsi.

“Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Legislatif dan Eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan para Senator mengatasi ancaman Covid-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dan keseluruhan kes menjangkau 616,815.

“Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini kuasa-kuasa Eksekutif dan Legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan,” katanya.

Jawatankuasa Khas dijadualkan mengadakan mesyuarat susulan esok.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak Covid-19.

Sehubungan itu, mana-mana mesyuarat Parlimen yang dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Jemaah Menteri pada 3 Mac lalu membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat selepas mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Hal itu kerana Perkara 150 (2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

Tiada ulasan: