HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 Jun 2021

'Kebenaran mahkamah ini langkah penting untuk anak muda' - Undi 18

Fareez Azman
'Kebenaran mahkamah ini langkah penting untuk anak muda' - Undi 18
Tharma Pillai, berkata pihaknya menganggarkan 1.2 juta anak muda Malaysia akhirnya diberi peluang untuk mengundi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.
 
KUALA LUMPUR: Semakan kehakiman mengenai pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Undi 18, sekiranya diluluskan, bakal memberi peluang mengundi kepada golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun, kata Persatuan Pengundi Muda (Undi 18).
 
Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, berkata pihaknya menganggarkan 1.2 juta anak muda Malaysia akhirnya diberi peluang untuk mengundi buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.
 
"Ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam mendapatkan keadilan dan hak mengundi untuk jutaan anak muda Malaysia.
 
"Kami ingin melihat kes ini dibahaskan berdasarkan meritnya serta bagi pihak berkuasa untuk menjelaskan keputusan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan RUU Undi18.
 
"Benarkanlah anak muda Malaysia mengundi. Laksanakanlah RUU Undi18 sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memberi kebenaran kumpulan 18 anak muda mencabar tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Undi 18 iaitu langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik (AVR).
 
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, ketika membenarkan permohonan kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18 bagi mengemukakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata pemohon telah memenuhi kriteria bagi memperoleh kebenaran dan kes itu bukan sesuatu yang remeh atau menjengkelkan.
 
Beliau berkata oleh itu, mahkamah harus membenarkan isu ini diteruskan ke peringkat yang substantif dan membolehkan responden memberi penjelasan melalui afidavit.

Tiada ulasan: