HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Jun 2021

Lebih tepat untuk baginda menurut nasihat PM dan Peguam Negara, kata pakar


Pakar Perlembagaan Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu menurut nasihat Perdana Menteri (PM) dan Peguam Negara walaupun terdapat ketika mereka boleh memberikan pandangan kepada kerajaan yang memerintah berhubung sesuatu isu, kata pakar Perlembagaan dan bekas ketua hakim negara.

Dalam satu kenyataan bersama pakar Perlembagaan Profesor Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid, situasi yang berlaku sekarang selepas titah Agong terdapat banyak pihak luar yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan walhal hakikatnya ia adalah luar bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Kita perhatikan, pada kebelakangan ini, banyak pihak di luar Kerajaan yang tidak berpuashati terhadap sesuatu tindakan Kerajaan cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk melakukan apa yang mereka mahu walaupun ia jelas di luar bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan,” kata kenyataan bersama itu.

Muslihat pihak luar yang sedang bermain politik demi kepentingan peribadi dengan menggunakan titah Agong untuk mewajarkan tindakan mereka perlu diawasi Agong bagi mengelak masuk dalam perangkap kumpulan tertentu, kata kenyataan itu lagi.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Rja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap mereka. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang bijaksana perlu senantiasa waspada bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan di mana amanah yang baginda galas adalah diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Baginda semua juga tertakluk kepada kedaulatan undang-undang dan perlu patuh kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan,” katanya lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada halangan untuk Agong menyuarakan pandangan kepada kerajaan bagaimanapun adalah lebih tepat untuk Agong mengikut nasihat kerajaan yang memerintah ketika ini
sama ada nasihat itu popular atau tidak ia tidak boleh sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik.

“Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini dan pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan kepada Kerajaan.

“Sama ada sesuatu keputusan berdasarkan nasihat itu politically popular atau pun, tidak baginda perlu meletakkan ketepatan undang- undang yang utama dan bukan sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik. Adalah menjadi tanggungjawab parti yang memerintah untuk menangani aspek politik kepartian. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan,” kata kenyataan itu lagi.

Berhubung titah Agong dan Majlis Raja-Raja yang mencadangkan agar sidang Parlimen disegerakan bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat, kenyataan itu berkata:

“Kami tiada komen terhadap kenyataan ini.

“Kami juga berpendapat tidaklah perlu bagi kami mengulas kenyataan ini kerana ia merupakan pendapat dan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Demikian juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda semua yang tidak diperturunkan dalam rencana ini,” katanya lagi.

Sila lihat kenyataan penuh kedua-duanya dalam ruang Rencana Agenda Daily.

Tiada ulasan: