HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 Jun 2021

LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrap


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 
 
Datuk Seri Najib Razak diberi peluang selama lapan bulan untuk membayar tunggakan cukainya sebelum langkah memfailkan notis kebankrapan pada 4 Februari lalu, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tindakan tersebut tidak melibatkan sebarang campur tangan politik seperti yang didakwa oleh bekas Perdana Menteri tersebut.

Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad berhujah, prosiding pembayaran tunggakan cukai yang difailkan terhadap bekas Perdana Menteri merupakan proses biasa yang dilaksanakan oleh LHDN.

Malah, LHDN memberitahu agensi itu mempunyai hak sejak dahulu lagi untuk menguatkuasakan perintah mahkamah dalam kes-kes yang melibatkan kegagalan pembayaran cukai.

“Kami bukannya memfailkan permohonan dalam keadaan tergesa-gesa melainkan LHDN telah menunggu selama hampir lapan bulan namun tiada perbincangan dilakukan bagi membolehkan tunggakan itu dijelaskan,” jelas Norhisham.

Hujah beliau, selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman terus pada 22 Julai tahun lalu, pihaknya telah menunggu selama lapan bulan agar Najib membayar tunggakan cukai pendapatan.

Sementara itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah pelaksanaan pembayaran tunggakan itu atas alasan pihaknya telah membuat rundingan semula mengenainya.

Bagaimanapun jelas beliau, rundingan itu tidak berjaya dan LHDN meneruskan dengan memfailkan notis kebankrapan terhadap anak guamnya dalam keadaan tergesa-gesa.

Hujah Shafee, tindakan itu akan menyebabkan Najib kehilangan segala-galanya termasuk pencen, kedudukan dalam politik manakala harta-hartanya akan dilelong.

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan Isnin ini bagi keputusan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan pembayaran tunggakan cukai iaitu sebelum rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan pada 16 Jun ini.

Najib merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Julai tahun lalu yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion.

Hakim Ahmad mengarahkan beliau membayar tunggakan cukai tambahan itu bagi tempoh 2011 hingga 2017 atas alasan tunggakan itu merupakan hutang kepada negara yang perlu dijelaskan.

Pada 31 Mei lalu, Najib itu memfailkan permohonan untuk membatalkan notis kebankrapan dan menggantung prosiding tersebut.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai tahun lalu (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari lalu iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000.

Setakat 4 Februari lalu, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Tiada ulasan: