HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Jun 2021

Majlis Pemulihan Negara tak akan ganti kerajaan, dakwa Tun M

 Athirah Huda Zalhe

Hanya berfungsi kurangkan kes baharu, isu ekonomi hingga capai imuniti kelompok

BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, kewujudan Majlis Pemulihan Negara tidak akan menggantikan kerajaan, sebaliknya berfungsi untuk mengurangkan kes baharu sehingga imuniti kelompok tercapai.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, majlis berkenaan hanya memfokuskan kepada empat perkara sahaja, termasuk memulihkan kemerosotan ekonomi dan kewangan serta menangani masalah persekolahan.

Jelas beliau, selain daripada isu-isu berkenaan tidak akan disentuh oleh majlis, dan kerajaan boleh menangani urusan-urusan biasa tanpa perlu terbabit dengan empat perkara itu.

“Untuk politik, Parlimen akan bersidang dan tindakan majlis akan dibentang kepada Parlimen. Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen.

“Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa. Malangnya jika kerajaan ditukar, kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis,” dakwanya dalam tulisan di chedet.cc, hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini mencadangkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan bagi menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara.

Cadangan itu bagaimanapun tidak mendapat persetujuan banyak pihak kerana Malaysia mempunyai sebuah kerajaan serta Kabinet yang berfungsi berbanding ketika tahun 1969.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, keadaan yang dihadapi negara ketika ini lebih teruk kerana sewaktu darurat diisytihar, masalah COVID-19 disifatkan tidak begitu serius, tetapi darurat gagal.

“Ini menyebabkan jumlah katil di hospital tidak mencukupi sehingga pesakit terpaksa dikuarantin di rumah. Ada yang maut di rumah kerana tidak dapat dirawat, khusus dengan bekalan oksigen.

“Selain dari wabak, tindakan MCO menyebabkan ekonomi merosot dan kewangan kerajaan terhakis teruk.

“Di masa sama pula, politik menjadi kucar-kacir kerana kelemahan kerajaan. Ini disusuli dengan banyak masalah sosial termasuk membunuh diri,” katanya.

Atas sebab itu, beliau berkata, Majlis Pemulihan Negara diperlukan untuk memastikan keputusan-keputusan pelan tindakan bagi membantu rakyat dapat dibuat segera dan dilaksanakan tanpa melalui banyak proses birokrasi.

Katanya, majlis itu tidak akan diletak di bawah kerajaan, tetapi dilapor secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kewujudan majlis akan tamat apabila negara mencapai ‘herd immunity’ atau sebelum PRU15.

“Ahli-ahli majlis akan terdiri dari pakar perubatan, pakar ekonomi yang tidak partisan, pakar pelaburan yang berpengalaman, penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat, tokoh perundangan yang tidak partisan dan tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan anggotanya juga tidak akan melebihi 20 orang, selain mendakwa tiada politik di dalam Majlis Pemulihan Negara.

“Nama-nama mereka akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan. 

“Ahli-ahli majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap pelantikan mereka sebgai satu khidmat negara atau national service,” katanya.

Tiada ulasan: