HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Jun 2021

Menteri derma gaji kepada rakyat, Najib simpan derma di Pavillion?

AGENDA DALY

Datuk Seri Najib Razak dan UMNO akan menuntut hak wang bernilai RM114 juta.

Sudah seminggu lebih sejak keputusan mahkamah berhubung wang disita RM114 juta membabitkan Datuk Seri Najib Razak berlalu dan bekas Perdana Menteri itu masih mengunci mulutnya terhadap status tindakan selanjutnya berhubung wang tersebut.

Atau adakah Najib sibuk membahagi-bahagikan wang tersebut untuk askar sibernya bagi menyerang kerajaan Perikatan Nasional? Atau adakah wang tersebut sebenarnya masih belum dituntut? Rakyat jelata tertanya-tanya berhubung status wang tersebut.

Harapan rakyat pastinya Najib tidak menyimpan semula wang tersebut di kediaman mewah, Pavillion dan ramai juga menunggu sekiranya wang tersebut didermakan akan kepada mereka atau mungkin UMNO juga sepatutnya mendapatkan wang tersebut.

Sememangnya rakyat melihat Najib sebagai pemimpin contoh terbaik apabila menyimpan wang derma secara senyap-senyap takut dicuri oleh penyamun atau tukang pecah rumah.

Penyamun berkeliaran merata-rata pada ketika zaman ramai orang susah semasa era pandemik ini, jadi sebaiknya ia dijaga di tempat selamat dan lebih selamat disimpan di tempat rahsia.

Bagaimanapun, rakyat masih tertanya-tanya dan mencari-cari jawapan, apakah Najib dan UMNO sudah menuntut wang tersebut? Apakah pembahagian sama rata sudah dilakukan?

Bukankah tempoh hari peguam Najib berkata akan memberi pihak berkuasa 24 jam untuk memulangkan wang tersebut? Tempoh 24 jam sudah berjam-jam berlalu, tapi rakyat pun tidak tahu apa sedang berlaku dengan wang tersebut?

Janganlah melenting pula apabila Agenda Daily sekadar bertanya, sememangnya kita mengetahui Najib seorang yang pemurah dan sudah banyak derma kepada rakyat diberikannya.

Cuma harapannya kali ini wang RM114 juta itu juga dapat didermakan kepada rakyat, bukannya apa, rakyat sememangnya mendambakan sifat pemurah Najib tambahan pula ketika wabak Covid-19 ini ramai yang berdepan kesempitan hidup.

Semalam baharu sahaja kerajaan mengumumkan pemotongan tiga bulan gaji Menteri dan Timbalan Menteri untuk membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19 dan ini adalah tanda solidariti pemimpin bersama rakyat dalam menghadapi cabaran zaman pandemik ini.

Seharusnya Najib dan juga rakan baiknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyahut seruan tersebut untuk memotong gaji Ahli Parlimen mereka untuk disumbangkan kepada rakyat khususnya.

Memandangkan Najib dan dua rakan akrabnya itu sentiasa mempunyai buah fikiran bernas untuk membantu rakyat malah menjadi pengkritik tegar kerajaan, maka oleh itu sebaiknya mereka juga menunjukkan tauladan yang sama.

Ayuhlah derma gaji Ahli Parlimen masing-masing demi membantu rakyat, ambil gaji Ahli Parlimen pun bukan masuk Dewan Parlimen pun perlu dibayar gaji penuh.

Tidak mahu tidak, sekurang-kurangnya Najib dan Ahli Parlimen blok pembangkang juga senada dengan kerajaan, berkorban demi rakyat untuk memotong gaji mereka bagi disumbangkan kepada rakyat jelata yang memerlukan.

Janganlah mengikut contoh tidak baik menyimpan wang derma yang sepatutnya diagihkan untuk kegunaan kebajikan di rumah masing-masing. Lebih baik dielak simpan di Pavillion kerana disitu pun tempat simpan duit penyamun.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

Najib dan UMNO masih mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung status wang tersebut, ia menjadi tanda tanya milik siapakah wang tersebut sebenarnya?

Tiada ulasan: