HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Mungkinkah UMNO ‘musuh’ yang dimaksudkan Anwar kini sudah jadi kawan?

Setiausaha PAS Negeri Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir. 
 
Setiausaha PAS Negeri Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir membayangkan PAS tidak akan menjadi ‘musuh’ seperti yang dikehendaki Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha Ketua Pembangkang itu untuk merampas Putrajaya.

Katanya, laporan mengatakan Presiden PKR itu meminta ahli partinya supaya membuka minda dengan bersedia bekerjasama walau dengan ‘musuh’ jika mahu merampas Putrajaya.

Beliau berkata seruan Anwar itu menunjukkan PKR dan parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak mampu untuk merampas Putrajaya sendirian sebaliknya memerlukan bantuan.

“Mereka perlukan bantuan dan bantuan ini datangnya dari pihak ‘musuh’ maka kerana itu PKR dan PH perlu berminda terbuka dan bersedia bekerjasama termasuklah dengan ‘musuh’ sekalipun sebagaimana disarankan Anwar.

“Soalnya siapakah ‘musuh’ yang dimaksudkan? PAS memang musuh buat PKR dan PH. Sanggupkah PAS bekerjasama dengan PKR sedangkan kedua parti telah berpatah arang dan berkerat rotan. Jelas ‘musuh’ yang dimaksudkan bukan PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan Shahir berkata, dalam keghairahan untuk mendapatkan kuasa, sesetengah pihak sanggup melakukan apa sahaja – matlamat menghalalkan cara, menggadai prinsip, menjilat ludah asal apa yang diidam-idamkan diperoleh semula.

“Mungkinkah UMNO? Ada khabar angin sebelum ini kononnya pimpinan tertinggi UMNO ada berjumpa dan berbincang dengan Anwar. Mungkinkah UMNO ‘musuh’ yang Anwar maksudkan?,” soal beliau lagi.

Namun, beliau mengingatkan UMNO bahawa ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu PH telah menyerang parti itu dan Barisan Nasional habis-habisan menyebabkan UMNO hilang kuasa buat pertama kali dalam sejarah.

“UMNO sendiri mengambil sikap ‘No PKR No Anwar No DAP’ mustahil keputusan sebesar ini mahu dilanggar semata-mata untuk beri nyawa pada Anwar untuk naik jadi Perdana Menteri.

“Mahukah PAS atau UMNO menggadaikan maruah, mengkhianati kepercayaan ummah bersekongkol dengan Anwar hanya semata-mata untuk jadikan beliau Perdana Menteri?,” katanya.

Terdahulu, awal hari ini Agenda Daily memetik Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid sebagai berkata misi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu mungkin menemui sinarnya apabila parti itu menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Abdullah Sani berkata, cadangan itu antara yang akan dikemukakan partinya, selain desakan supaya diadakan segera Pilihan Raya Umum (PRU).

Bagaimanapun penyokong PKR kecewa apabila Anwar berkata tiada isu berhubung pembentukan kerajaan baharu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Tiada ulasan: