HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Jun 2021

Selepas diceramah Agong, Anwar boleh ‘tutup buku’ cita-cita tukar kerajaan

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kiranya sudah boleh ‘menutup buku’ untuk berhasrat menukar kerajaan baharu selepas diberi ‘ceramah’ mengenai Perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Anwar yang begitu teruja untuk menemui Tuanku akhirnya hampa apabila tiada isu berhubung pembentukan kerajaan baharu dibincangkan sebaliknya beliau pula ditegur oleh Tuanku.

Kenyataan Presiden PKR semasa sidang medianya semalam secara tidak langsung boleh dirumuskan Agong memberitahunya Tuanku perlu mengambil nasihat Perdana Menteri dan bukan sebaliknya.

Anwar pada awalnya berharap dapat mempengaruhi Tuanku kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti di Parlimen (yang bermaksud kurang dari 111 Ahli Parlimen menyokongnya) dan beliau memiliki majoriti itu (yang bermaksud lebih daripada 111 Ahli Parlimen menyokongnya).

Namun, ia mengulangi peristiwa sama berlaku kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pada 2016 (kerana beliau tidak dapat membuktikan mempunyai 1.3 juta tandatangan menyokongnya), (Anwar juga tidak dapat membuktikan memiliki lebih daripada 111 anggota Parlimen menyokongnya).

Sebaliknya yang berlaku apabila Tuanku memberi syarahan kepada Dr Mahathir fungsi Perlembagaan Persekutuan, iaitu: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Agong mesti menerima nasihat daripada Perdana Menteri.

Hari ini, Anwar Ibrahim juga menerima nasib sama.

Ketika wartawan bertanya kepada Anwar apakah beliau membincangkan topik perubahan pemerintahan dengan Seri Paduka Baginda Agong, Anwar mengesahkan bahawa perkara itu tidak dibangkitkan atau dibincangkan.

Pendek kata, isu Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Parlimen tidak dibangkitkan.

Mengenai isu-isu lain, Tuanku mengatakan mereka perlu mengikut undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di mana Agong mesti mengambil nasihat Perdana Menteri. Jadi, Anwar bolehlah tutup cerita berhubung isu tukar kerajaan.

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, dalam mendepani isu ini Agong sendiri tidak mahu menganggu pentadbiran sedia ada.

“Agong mahu melihat kerajaan sedia ada ini melakukan perubahan yang baik, mungkin ada dalam gambaran untuk menukar regim tetapi untuk menukar regim pada masa ini agak kritikal juga.

“Di tambah kita dalam keadaan genting ketika ini, jadi Baginda melihat bagaimana tindakan kerajaan untuk terus relevan meskipun mendapat bantahan,” katanya kepada Agenda Daily.

Katanya lagi, jika berlaku pertukaran kerajaan sekalipun belum tentu negara dapat berubah ke arah yang lebih baik.

“Tidak sesuai menukar kerajaan, banyak perkara yang perlu difikrikan dengan keadaan Covid-19 lagi jadi rakyat cuma mahu tindakan yang lebih kritikal daripada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu Fellow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun berkata, sekiranya Agong mahukan perubahan pentadbiran sudah semestinya Tuanku menilai dahulu kerusi yang dipegang oleh pimpinan parti politik sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sekiranya Agong (mahukan perubahan), Tuanku boleh melakukannya dengan memanggil pemimpin politik dan menilai berapa banyak kerusi yang mereka kuasai,” katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, Agong hanya ingin bertemu dengan pimpinan ahli politik hari ini hanya mahu meminta pandangan mereka susulan timbulnya beberapa desakan khususnya daripada blok pembangkang.

“Pertemuan tersebut adalah susulan daripada beberapa pihak yang mahu pihak istana campur tangan dalam beberapa perkara termasuk pembukaan sesi Parlimen, darurat, dan Covid-19,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelasnya, beliau tidak melihat kepada desakan kepada pertukaran kerajaan buat masa ini cuma isu sidang Parlimen dibuka menjadi keutamaan yang perlu dipertimbangkan.

“Saya tidak melihat pertukaran kerajaan kerana dalam darurat kerajaan sedia ada akan berfungsi. Keutamaan sekarang adalah membuka semula Parlimen,” katanya lagi.

Tiada ulasan: