HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 Jun 2021

Tarikh PM umum mahu sidang Parlimen pun sudah dekat – Takiyuddin

MGF25022020_PC-BN-PAS14
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong tidak menyebut masa tertentu untuk sidang Parlimen dibuka segera dan tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri untuk tujuan yang sama juga sudah hampir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sebelum ini pun sudah bercadang untuk membenarkan sidang Parlimen pada September depan.

“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa (sidang Parlimen) tapi secepat mungkin, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.

“Sekarang kita sidah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” katanya dalam program khas anjuran HarakahDaily bertajuk Proklamasi Darurat: Berjaya Atau Tidak secara langsung di Facebook lidah rasmi Pas malam ini.

Takiyuddin menjawab pertanyaan moderator, Badzli Bakar mengenai kenyataan rasmi Yang di-Pertuan Agong petang tadi yang mahu persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Begitu juga dalam seruan Yang di-Pertuan Agong mengenai peranan Ahli Parlimen supaya menjadikan Parlimen ini penting untuk membincangkan perkara berkaitan Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong tidak titah dengan perkara lain, Tuanku titahkan mengenai Covid-19, kita akan fokus dengan pandemik Covid-19,” kata Takiyuddin lagi.

Semalam, Muhyiddin secara langsung dalam perutusan Pelan Pemulihan Negara berkata sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tiada ulasan: