HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Jun 2021

Tidak dibincang isu kerajaan baharu, penyokong PKR pasti kecewa

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Selepas sejam lebih pertemuan di Istana Negara pastinya penyokong PKR kecewa apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada isu berhubung pembentukan kerajaan baru dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pagi tadi.

Ketua Pembangkang tersebut yang teruja selepas dipanggil menghadap semasa keluar pintu istana memberitahu wartawan isu kerajaan baharu tidak berbangkit, bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci intipati perkara yang disuarakannya semasa pertemuan tadi.

“Itu soal yang tidak dibangkitkan sekarang,” katanya dipetik kepada wartawan selepas bertemu dengan Agong.

Beliau juga tidak mendedahkan tujuan Agong memanggil ketua-ketua parti dan hanya menjawab ia terserah kepada budi bicara Tuanku.

“Itu terserah pada tuanku. Tapi berdasarkan pengalaman saya tadi, tuanku berlapang dada mendengar semua pandangan,” katanya lagi.

Blok pembangkang sebelum ini membuat desakan supaya Agong menamatkan Pengisytiharan Darurat dan mahu sidang Parlimen dibuka atas alasan kononnya mahu menangani penularan pandemik Covid-19.

Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin di Istana Negara, 11 Januari lalu.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan misi Anwar untuk diangkat sebagai PM baharu mungkin menemui sinarnya apabila parti itu dijadualkan menghadap Agong.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, cadangan itu antara yang akan dikemukakan partinya, selain desakan supaya diadakan segera PRU.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai peluang keemasan bagi PKR dan Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) baharu, beliau berharap agar cadangan itu dapat diterima dan akan disuarakan oleh Presiden kesayangan mereka ketika menghadap nanti.

“Saya memang berharap PKR bukan sahaja menyatakan perkara ini di depan Yang di-Pertuan Agong, tapi juga pandangan tentang apa yang terbaik perlu dilakukan bagi menyelamatkan negara,” katanya kepada Agenda Daily.

Bagaimanapun semalam, penyokong fanatik Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara terbuka menyerang Presiden PKR, Anwar yang dikatakan cuba membawa agenda peribadinya untuk menjadi PM semasa menghadap Agong nanti dan mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.

“Anwar Ibrahim adalah Anwar Ibrahim, seorang yang rakus kuasa untuk jadi PM dan tidak bersabar, beliau hanya syok sendiri,” katanya.

Blok pembangkang kini dilihat terpecah kepada beberapa kumpulan, terdapat kumpulan Anwar dan UMNO, terdapat kumpulan Warisan dan Dr Mahathir dan terdapat juga kumpulan dalam UMNO yang setia menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tiada ulasan: