HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 September 2021

Anwar hanya setuju MoU dengan kerajaan selepas didesak DAP

AGENDA DAILY

Timbul tanda-tanya faktor yang menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini rasa terhina dengan tawaran mantan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi boleh pula menerima tawaran sama dibuat oleh kerajaan diterajui UMNO.

Ketua Pembangkang itu sebelum ini berkata ia satu penghinaan apabila ingin diberikan status bertaraf Menteri, malah menyifatkan ia satu pembaziran wang rakyat tetapi kini boleh pula menerimanya apabila ditawarkan PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Adakah kini dengan menerima tawaran tersebut ia tidak membazir wang rakyat?

Bagaimanapun, beberapa sumber dalaman parti blok pembangkang memberitahu Agenda Daily bahawa Anwar sebenarnya dipaksa untuk bersetuju memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan selepas didesak pemimpin DAP.

Antara yang dibangkitkan DAP dengan Anwar adalah berhubung majoriti yang didakwa dimilikinya, malah turut dipersoalkan parti mana yang sebenarnya akan menyokong beliau untuk menjadi PM.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Anwar yang didesak bertubi-tubi tidak menjawab persoalan tersebut dan perkara sama juga berlaku kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menjawab berhubung persoalan sama apabila ditanya dalam mesyuarat UMNO.

Menurut sumber, DAP sudah tidak dapat bertolak-ansur dengan Anwar yang dilihat sudah melampaui batasan apabila membuat penipuan berhubung majoriti yang konon dimilikinya, malah mereka juga terlepas peluang selepas menolak tawaran yang dibuat Muhyiddin.

Pada mulanya, DAP dan Amanah begitu yakin dengan janji-janji manis Presiden PKR itu sehingga terpukau kononnya akan dapat menjadi kerajaan semula selepas Muhyiddin meletak jawatan.

Bagaimanapun, realitinya Anwar tetap adalah Anwar yang dahulu, cakap berdegar-degar tapi kosong apa pun tidak ada. Masakan pengikut fanatiknya seperti Rafizi Ramli pun kini sudah tidak mahu membantunya lagi dan Datuk Seri Azmin Ali yang suatu ketika dahulu mempercayai cakap Anwar juga sudah meninggalkannya.

Kemarahan DAP memuncak apabila Anwar gagal menjadi PM Kesembilan, defisit kepercayaan sangat tinggi terhadap pemimpin utama blok pembangkang itu.

Malah, sehingga ada yang berani menyuarakan secara terbuka supaya beliau diganti kerana sudah tidak relevan dan rakyat juga sudah muak dengan caranya berpolitik yang terlalu ego serta beremosi tak tentu hala.

Anwar seakan hilang punca apabila desakan bertalu-talu yang diterimanya daripada pemimpin DAP, buktinya laman media sosial Anwar sunyi sepi beberapa hari selepas pelantikan Ismail Sabri.

Ia berbeza dengan keadaan sebelum itu, Anwar hampir setiap jam mengeluarkan kenyataan dan hantaran dalam akaun Facebook serta Twitternya, tetapi situasi berubah sebaik mendapat perkhabaran tidak memiliki majoriti.

Selesai majlis angkat sumpah Ismail Sabri dan disahkan menjadi PM yang baharu, kekecewaan yang dialaminya tidak dapat disembunyikan dan beberapa kenyataan ringkas ucapan tahniah dalam nada sendu dikeluarkan Anwar. Itupun sudah cukup memperlihatkan kepiluan dihadapinya.

Lebih mengharukan, Anwar dicerca dan dihina oleh rakyat sama ada dalam media sosial dan di hadapan ruang kaca televisyen kerana terlalu rakus mengejar kuasa tetapi akhirnya tersembam ditipu anak muridnya.

Turut terkena tempias juga parti komponennya DAP dan Amanah, rakyat sudah hilang hormat kepada kedua-dua parti tersebut.

Beberapa peniaga berbangsa Cina yang ditemui Agenda Daily tidak boleh menerima hakikat kerajaan sekarang sudah jatuh kepada UMNO, lebih teruk lagi apabila dalangnya adalah DAP bersama-sama PKR yang menjadi punca parti tersebut kembali menjadi dominan.

Anwar dan DAP mungkin masih tidak sedar realiti di bawah, masih mendabik dada kononnya mereka memperjuangkan kepentingan rakyat, namun di ruang komen sama ada di Facebook Anwar atau Lim Guan Eng kata-kata penghinaan ditaburkan hampir saban hari.

Majoriti tidak berpuas hati dengan Anwar dan DAP khususnya kerana menjadi petualang sebenar kepada kembalinya UMNO berkuasa di Putrajaya.

Bagaimanapun, mujur Ismail Sabri membuat tawaran sama dibuat Muhyiddin kepada blok pembangkang dan tanpa cakap banyak terus bersetuju, malah sudah pun memeterai perjanjian di Parlimen pada hari pertama sidang Dewan Rakyat.

Jadi persoalannya, mengapa Anwar kini lebih mudah dan cepat menerima tawaran dibuat kerajaan UMNO? Sudah pastinya Anwar tidak menahan lagi desakan dan kritikan daripada DAP, beliau tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sebelum ini.

Namun, faktanya yang dilihat oleh rakyat di luar sana, Anwar dan DAP kini adalah faktor utama yang memastikan kejayaan UMNO kembali ke puncak kuasa. Tidak ada jalan lain untuk menyembunyikan fakta tersebut, kini tiada lagi “No UMNO” dan slogan yang tinggal adalah “Yes UMNO”.

Tidak perlulah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad cuba mengubah naratif dengan menyalahkan pertelingkahan sesama parti dalam kerajaan kepada punca kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), faktanya siapakah sebenarnya cikgu kepada Zahid yang memulakan komplot.

Adakah Khalid Samad lupa perbualan manja dan penuh drama antara Anwar dan Zahid? Untuk rekod, rakaman klip audio itu masih bertebaran dalam media sosial. Atau Khalid Samad mahu juga menjadi anak murid Anwar sama seperti Zahid?

Tiada ulasan: