HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 September 2021

Sanusi tunjuk bukti 4 slip bank RM13 juta dipindah ke akaun Barclays

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan dokumen berkaitan 
dakwaan pemindahan wang milik MBI ke akaun Barclays Bank.

ALOR SETAR: Pemindahan keluar RM13 juta daripada akaun Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dibuat pada 2014, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.

Katanya, nilai wang terbabit dipindahkan ke akaun Barclays Bank dalam empat peringkat, katanya sebagai maklum balas ketika menjawab soalan Mukhriz Mahathir (PH- Jitra), membabitkan isu berkenaan.

“Slip transaksi satu, RM3.295 juta, slip kedua 3.315 juta, slip ketiga RM3.305 juta dan slip keempat RM3.278 juta, saya tidak dapat komen lanjut sebab dia jadi dokumen pihak berkuasa.

“Saya harap pihak berkuasa yang terbabit dapat menjalankan siasatan seadil-adilnya jika berlaku pecah amanah ataupun salah guna kuasa ataupun apa-apa menyalahi akta,” katanya.

Terdahulu, Mukhriz dalam celahannya ketika ucapan penggulungan Sanusi, mahu beliau mendedahkan lebih banyak maklumat membabitkan “tuduhan serius” itu ketika beliau menerajui kerajaan negeri.

Sanusi dalam sidang media mayanya, turut mendedahkan empat slip yang didakwa sebagai bukti pemindahan wang terbabit selepas ditanya berhubung laporan menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke pejabat Menteri Besar bagi siasatan kes terbabit.

Dalam sidang media berasingan, Mukhriz berkata, beliau sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Katanya, dakwaan Sanusi tidak begitu jelas, termasuk tidak memaparkan secara terperinci dakwaan itu.

“Beliau juga enggan menyatakan adakah pemindahan wang ke bank itu berlaku di Kanada. Beliau berkata, bank itu adalah Barclays Bank. Namun, jika anda membuat carian di Google untuk mencari cawangan bank itu, ia tidak ada.

“Beliau berkata saya dikelilingi ‘punahsihat’. Saya rasa sebaliknya, saya rasa beliau yang dikelilingi ‘punahsihat’.

“Beliau perlu berhati-hati ketika menerima nasihat. Bagaimanapun, saya tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja kerana ia menjejaskan imej saya sebagai bekas Menteri Besar dan kredibiliti saya,” katanya.

Bagaimanapun, carian FMT di Google mendapati terdapat dua cawangan Barclays Bank, iaitu membabitkan bank pelaburannya, di mana cawangannya masing-masing berada di Calgary dan Toronto, di Kanada.

Sanusi sebelum ini mendakwa RM13 juta dipindah keluar dari MBI ke satu bank di Kanada ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah.

Tiada ulasan: