Sinar Harian

Yusuf
berkata, surat akuan bersumpah menolak kepimpinan Aminuddin sudah
diserahkan kepada Anwar kira-kira empat bulan lalu. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN:
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengetahui ketidakpuasan hati kepimpinan parti negeri terhadap Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin
Harun.
Ketua Penerangan PKR Negeri
Sembilan, Yusuf Tapar berkata, surat akuan bersumpah (SD) menolak
kepimpinan Aminuddin yang telah ditandatangani ketua-ketua cabang dan
sayap parti serta yang berjawatan dalam MPN juga sudah diserahkan kepada
Anwar kira-kira empat bulan lalu.
"SD
itu telah dihantar empat bulan lepas dan dalam pengetahuan Presiden.
Sebab itulah kita membuat keputusan untuk membuat kenyataan media
berhubung perkara itu semalam (Ahad).
"Memang
saya yang membacakan kenyataan media memorandum itu, tapi ia bukan
pendapat saya seorang. Itu kenyataan bersama dan telah dibincangkan
terlebih dahulu sebelum semuanya bersetuju," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Isnin.
Beliau
berkata, majlis membaca memorandum menolak Aminuddin pada petang Ahad
itu juga telah dimaklumkan kepada semua yang menyokong.
Katanya, ia termasuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR yang telah menandatangani SD tersebut.
Bagaimanapun, katanya, daripada empat ADUN PKR di negeri ini, hanya ADUN Labu, Ismail Ahmad yang hadir.
"Kalau itu kenyataan saya seorang, mereka yang namanya disertakan itu boleh mengambil tindakan terhadap saya.
"Kenyataan itu sah kerana ia berkait rapat dengan SD yang telah ditandatangani mereka," jelas beliau.
Sementara
itu, berkenaan penafian beberapa cabang terlibat membuat kenyataan itu,
Yusof berkata, ia tidak ada kaitan dengan mereka kerana sokongan itu
datangnya daripada ketua cabang.
"Yang kita pegang adalah ketua-ketua Cabang dan mereka bersama dengan kita," katanya.
Beliau
turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan sesi dialog dengan
Aminuddin pada bila-bila masa berkenaan masalah yang berlaku.
Sinar Harian
pada Isnin melaporkan tiga ADUN daripada PKR Negeri Sembilan menafikan
terlibat dalam membuat kenyataan media bahawa telah hilang kepercayaan
terhadap kepimpinan Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan
berhubung perkara itu mula tersebar menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp
pada malam Ahad yang turut mengaitkan nama ADUN Sri Tanjung, Datuk M
Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk
Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.
Selain
itu, Timbalan Ketua Cabang Kuala Pilah, Shahran Kaat turut membuat
penafian apabila mendakwa pihaknya tidak pernah memanggil sebarang
mesyuarat ahli jawatankuasa bagi mengambil ketetapan dalam isu tersebut.
"Saya
ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat peribadi
Ketua Cabang PKR Cabang Kuala Pilah dan tidak melambangkan keputusan
sebulat suara daripada ahlinya.
"Justeru
beliau telah mengkhianati mandat yang telah diberikan kepadanya dengan
membelakangkan pandangan dan suara ahli dalam membuat sesuatu keputusan
dengan membabitkan nama cabang di sini," katanya.
Begitu
juga dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Muhamad
Affandi Abdul Malik yang turut menafikan terlibat berikutan namanya
turut disenaraikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan