HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 September 2021

Bersatu keluar PH kerana fahaman haluan kiri – Wan Saiful

MGF09092021_PC-PENERANGAN-BERSATU06
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun ke-5 BERSATU di Damansara Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL,

PETALING JAYA – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020 adalah kerana rasa kurang senang dengan fahaman haluan kiri yang diperjuangkan parti pemerintah ketika itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia bertentangan dengan agenda Bersatu yang memperjuangkan Melayu, Bumiputera dan Islam sebagai teras kemakmuran negara.

“Agenda mereka ini agak berbeza, boleh dikatakan parti-parti besar dalam PH itu ideologinya adalah sebelah kiri atau ditakrifkan sebagai left centre, sedangkan Malaysia ditubuhkan dengan semangat, bukan aliran berfahaman kiri.

“Itu satu keputusan yang berani demi memastikan prinsip dan matlamat perjuangan kita kekal dapat dipertahankan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Damansara Perdana, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Bersatu hilang kuasa sebagai kerajaan ketika itu, namun parti itu berjaya membentuk kerajaan baharu dengan kerjasama Pas, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita ambil risiko, mungkin hilang kedudukan kuasa, tapi demi memastikan prinsip kita dapat dipertahankan.

“Alhamdulillah dengan risiko yang kita ambil kita dapat membentuk sebuah kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Menurutnya, pada hari pertama Bersatu dan parti komponen PN membentuk kerajaan, parti itu terus diuji dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

Tambah beliau, kerajaan PN berdepan dengan wabak Covid-19 selain cabaran ekonomi yang menyaksikan banyak kekangan terpaksa dihadapi rakyat.

“Bagaimanapun kita membuktikan sekali lagi di waktu seluruh dunia berhadapan dengan masalah, fokus kita untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita sebegitu banyak bantuan disampaikan kepada rakyat.

“Saya rasa mana-mana kita pergi, kita akan kekal bangga bahawa waktu orang lain bercakap mengenai politik, kita bercakap membantu rakyat, itu tumpuan kita dan kita tak pernah lupa dengan fokus tersebut,” katanya.

Wan Saiful menegaskan apa juga tindakan Bersatu termasuk langkah presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 merupakan satu pergorbanan besar untuk mempertahankan agenda parti itu.

“Kita tunjuk kepada negara dan dunia bahawa yang penting kepada kita adalah agenda perjuangan diteruskan dalam sebuah kerajaan yang kita kekal bersama

“Bukan jawatan, tapi agenda itu lebih penting, pengorbanan yang amat besar yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin.

“Dulu berkorban hilang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden dari UMNO untuk memperjuangkan prinsip.

“Sekarang ini sanggup melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: